Tanda solidariti… Wanita New Zealand tidak kira agama berhijab

Rakyat New Zealand terus-menerus membuatkan dunia mengagumi mereka apabila wanita di negara itu memakai hijab sebagai tanda solidariti kepada masyarakat Islam di Christchurch.

Gerakan Sarves In Solidarity dan Headscarf For Humanity mengajak semua wanita di New Zealand untuk mengenakan hijab selama sehari.

Selain sebagai tanda solidariti, pergerakan #headscarfforharmony dan #scarvesinsolidarity ini adalah bertujuan untuk memberikan penghormatan dan sokongan ke atas masyarakat Islam yang berdepan tragedi berdarah Masjid Al Noor dan Masjid Linwood pada 15 Mac yang lalu.

Menerusi Twitter Anna lagi, beliau berkongsi sekeping gambar anggota polis wanita yang mengenakan hijab sebagai tanda penghormatan ketika majlis pengebumian semalam.

Bagi Presiden Persatuan Muslim New Zealand, Ikhlaq Kashkari, beliau merasakan inisiatif ini sebagai idea yang hebat.

Inisiatif murni ini turut disambut kerajaan negeri Kelantan apabila wanita Kelantan disaran untuk memakai hijab berwarna putih esok sebagai tanda solidariti.

“Memakai hijab itu adalah sebagai lambang kedamaian dan sekaligus melindungi maruah seorang wanita yang amat dituntut oleh agama Islam,” kata Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Kelantan, Mumtaz Md. Nawi.

Semoga wanita-wanita di Malaysia turut sama menyahut gerakan ini dan jangan lupa sertakan tanda pagar #headscarfforharmony dan #scarvesinsolidarity agar ia trending di seluruh dunia.

Sebagai tanda penghormatan terakhir, Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern turut memaklumkan kepada pihak media agar seluruh negara mengambil masa selama dua minit untuk bertafakur bagi memperingati tragedi berdarah yang telah mengorbankan hampir 50 jemaah masjid.

Dalam tragedy berdarah itu, 3 rakyat Malaysia cedera manakala Mohd Haziq Mohd Tarmizi, 17 terbunuh dan selamat dikebumikan semalam.

Ayahnya, Mohd Tarmizi Shuib antara yang turut tercedera dalam serangan itu dilihat mengiringi pengebumian Haziq.

Semoga Haziq dan mangsa yang terkorban ditempatkan dikalangan orang yang beriman, serta dikuatkan hati ahli keluarga mereka.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]