Banglo keluarga Jho Low di Pulau Pinang disita

Banglo 3 tingkat ini didaftarkan di bawah nama ibu Jho Low, Goh Gaik Ewe.

GEORGE TOWN: Sebuah banglo milik keluarga Low Taek Jho, watak utama dalam skandal rasuah 1MDB, disita oleh pihak berkuasa, menurut satu laporan.

Portal Star Online berkata, banglo 3 tingkat di Tanjung Bungah Park itu bernilai RM15 juta.

Ia berkata, pegawai Unit Anti-Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan, Bukit Aman berada di hartanah itu Khamis untuk mengeluarkan notis sitaan daripada Jabatan Peguam Negara di bawah sub-seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Notis berkenaan yang dilihat oleh FMT, bertarikh 17 Jan, menyebut: “Menurut subseksyen 51 (1A) Akta itu, adalah diperintahkan harta tidak boleh alih berkenaan disita oleh pegawai penyiasat dan semua urusan berkaitan harta tidak boleh alih tersebut adalah dilarang.

“Sila ambil perhatian bahawa kegagalan mematuhi notis ini merupakan satu kesalahan di bawah Akta tersebut.”

Notis itu ditanda tangani oleh timbalan pendakwa raya Syafinas Shabudin.

Portal berita tersebut yang menerbitkan gambar notis berkenaan ditampal di depan banglo itu berkata, tidak ada orang di rumah sewaktu pegawai terbabit datang.

Ia melaporkan, hartanah berkenaan didaftarkan di bawah nama, Goh Gaik Ewe, 66, ibu kepada Low, atau lebih dikenali sebagai Jho Low.

Goh dan suami beliau, Larry Low Hock Peng, juga 66, dinamakan oleh Bukit Aman sebagai individu yang disyaki berhubung siasatan 1MDB.