Lebih seminggu Haziq meninggal dunia namun hidung, bibir masih merah dedah ibu saudaranya

Meskipun lebih seminggu arwah Mohd Haziq Mohd Tarmizi, 17, disahkan terkorban ekoran serangan pengganas di dua Masjid di Christchurch, New Zealand, namun jenazah masih dalam keadaan tersenyum dan umpama tidur.

Ibu saudaranya, Zarina Shuib, 53, berkata dia dimaklumkan wajah anak saudaranya, Haziq bercahaya ketika jenazah anak kedua daripada empat adik beradik itu diuruskan.

Menurutnya, mereka sekeluarga sememangnya sedih menerima berita pemergian Haziq kerana mengharapkannya masih hidup selepas dilaporkan hilang.

“Jikalau diikutkan, saya memang ada menerima makluman berita sedih berkaitan Haziq yang dikongsikan Exco Kebajikan Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Phee Boon Poh melalui aplikasi WhatsApp.

“Pada mulanya, saya kurang percaya dia sudah meninggal dunia memandangkan kami sekeluarga masih mengharapkan yang Haziq terselamat dalam insiden tembakan itu,” katanya menceritakan semula saat dimaklumkan Haziq adalah salah seorang 50 mangsa yang terkorban dalam tragedi berdarah itu.

Bagaimanapun, katanya, dia akhirnya percaya apabila menerima ucapan takziah daripada rakan-rakan sebelum menerima maklumat berkaitan arwah Haziq yang disahkan Wisma Putra.

Menurutnya, dia memang terkejut dan sedih apabila menerima perkhabaran itu, bagaimanapun reda dengan pemergian Haziq menghadap Ilahi selepas hampir seminggu dilaporkan hilang.

“Kami sekeluarga sedih namun reda dengan kehilangan Haziq buat selama-lamanya. Mungkin, sudah sampai masanya dia pergi dan ketentuan ALLAH SWT.

“Sebelum ini, kami ingat dia masih hidup. Tapi, nak buat macam mana… kami terpaksa menerima dengan tabah dengan kejadian berlaku,” katanya.

Menurutnya, anak saudaranya juga meninggal dunia dalam keadaan masih berwudhu dan hendak menunaikan solat.

Dalam laporan FMT sebelum ini melaporkan dalam kejadian kira-kira jam 1.40 petang (waktu tempatan), 50 maut dan lebih 50 lagi cedera akibat tembakan rambang berdekatan Masjid Al-Noor berhampiran Hagley Park dan MasjidLinwood di Christchurch.

Empat rakyat Malaysia disahkan terlibat dalam serangan itu.

3 daripadanya cedera iaitu Mohd Tarmizi Shuib, Rahimi Ahmad dan Nazril Hisham Omar, sementara anak kedua Tarmizi, Haziq Tarmizi, 17, dilaporkan hilang dalam kejadian tembakan itu.

Pengebumian jenazah Haziq telah disempurnakan di Memorial Park Cemetery Bromley.

Salah seorang yang turut serta kerika pengebumian, Putera Sriwijaya berkongsi pengalamannya di Facebook miliknya.

Katanya, jenazah adik Haziq telah selamat disolatkan dan dikebumikan.

“Alhamdulillah berpeluang mengusung keranda dan menurunkan jenazah syuhada ke dalam liang lahad.

“Saya menjadi saksi wajah jenazah sangat bersih seperti tidur sahaja walaupun sudah seminggu pergi.

“Hidung dan bibir merah seperti masih hidup. MasyaAllah. Barangkali ada amalan arwah ketika hidupnya sehingga terpilih untuk mati dalam keadaan husnul khotimah,” katanya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]