Malaysia, Pakistan ikrar tingkat kerjasama dalam isu Islam

Dr Mahathir Mohamad mengadakan perbincangan 4 mata di kediaman rasmi Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan di Islamabad, semalam. (Gambar Bernama)

ISLAMABAD: Malaysia dan Pakistan mengesahkan komitmen untuk bekerjasama lebih rapat dalam isu yang memberi kesan kepada dunia Islam, termasuk usaha menekankan sensitiviti Islam yang menyasarkan keperibadian suci dan kepercayaan agama Islam.

Dr Mahathir Mohamad dan rakan sejawatannya dari Pakistan, Imran Khan bersetuju meningkatkan usaha dan kerjasama bagi menegakkan nilai sebenar Islam dalam forum antarabangsa sambil mengukuhkan perpaduan di kalangan umat Islam.

Dalam satu kenyataan bersama sempena lawatan rasmi 3 hari perdana menteri ke Pakistan sejak Khamis lalu, kedua-dua pemimpin itu turut menekankan keganasan tidak boleh dikaitkan dengan mana-mana agama atau kepercayaan.

“Kedua-dua pemimpin bertukar-tukar pendapat mengenai situasi di Palestin dan di Rakhine, Myanmar yang melibatkan etnik Rohingya beragama Islam.

“Mengenai isu Palestin, kedua-dua negara bersetuju menyumbang secara positif dalam forum lain, terutamanya Jawatankuasa Enam mengenai Palestin Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), di mana Malaysia dan Pakistan adalah anggota.”

Menurut kenyataan itu, Malaysia mengambil maklum usaha anti-keganasan secara besar-besaran yang berjaya dilakukan Pakistan dalam usaha membasmi keganasan.

Kedua-dua perdana menteri juga bersetuju mengenai keperluan meningkatkan hubungan pendidikan, khususnya di institusi pengajian tinggi, latihan teknikal dan vokasional antara 2 negara.

“Mereka bersetuju kerjasama erat dalam pendidikan tinggi dan latihan vokasional adalah elemen kritikal untuk fasa hubungan seterusnya.

“Pelancongan dan pertukaran belia juga dikenal pasti sebagai pemacu utama dalam mempromosikan hubungan kemanusiaan lebih besar dan pertumbuhan sosio ekonomi yang mampan, dan dalam memupuk persefahaman antara kedua-dua negara.”

Sementara itu, Malaysia mempelawa Pakistan mengambil bahagian dalam pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) dari 26 hingga 30 Mac ini.

Kedua-dua pemimpin itu berkata, konsultasi dua hala pertama antara setiausaha Kementerian Luar Pakistan dan ketua setiausaha Kementerian Luar Malaysia pada 25 Februari lalu ialah mekanisme mengeratkan hubungan dua hala.

“Konsultasi dua hala antara kedua-dua negara meliputi pelbagai isu kebimbangan bersama seperti pengurusan hutang dan antikorupsi, kerjasama pertahanan, hal buruh, perkara konsular serta dinamik serantau dan antarabangsa.”

Kedua-dua pemimpin juga mengiktiraf hasil pertemuan Jawatankuasa Bersama ke-13 mengenai Kerjasama Pertahanan (JCDC) dari 26 hingga 27 Februari lalu di Kuala Lumpur.

Mahathir ke Pakistan atas jemputan Imran untuk menjadi tetamu kehormat dalam perbarisan Hari Pakistan, hari ini.

Sepanjang lawatan itu, Mahathir diberikan sambutan rasmi di kediaman perdana menteri dan kedua-dua pemimpin mengadakan pertemuan 4 mata serta perbincangan mengenai hubungan dua hala, isu serantau dan antarabangsa serta kepentingan bersama.

“Mahathir turut menyuarakan penghargaan kepada Presiden Pakistan, Arif Alwi kerana memberi anugera Nishan-e-Pakistan (Perintah Pakistan), anugerah sivil tertinggi Pakistan dalam satu jamuan negara.”