PRK Rantau ‘ibu’ semua pilihan raya kecil, kata Loke

Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke berkata, berbeza PRK Semenyih dengan PH perlu mempertahankannya, di PRK Rantau mereka perlu menyerang,

SEREMBAN: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau disifatkan sebagai “ibu” kepada semua PRK kerana bakal berdepan dengan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan.

Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke Siew Fook berkata, jika keputusan PRK kali ini berpihak kepada Pakatan Harapan (PH), ia akan beri implikasi besar kepada Umno dan Barisan Nasional (BN) kerana berjaya menewaskan pemimpin utama mereka.

“PRK ini akan tarik perhatian semua negara dan saya berani cakap ini akan jadi PRK paling penting dan signifikan berbanding PRK lain sebelum ini.

“Hasil keputusan PRK ini akan beri kesan besar bukan saja terhadap politik di Negeri Sembilan, tetapi politik negara kerana calon BN adalah pemangku presiden Umno dan pengerusi BN,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan bilik gerakan DAP PRK DUN Rantau di sini, hari ini.

Beliau yang juga pengerusi DAP negeri berkata, jika kerusi itu berjaya bertukar tangan, ia sekali gus akan membantu PH memperkuatkan kedudukan, termasuk membuktikan formula kerjasama PAS dan Umno tidak berjaya.

“Kalau kita dapat serang kubu kuat Tok Mat, ia bermakna kita dapat perkuatkan PH selangkah lagi. Kita tahu pihak lawan akan ketengahkan pelbagai isu rakyat dan kita bersedia beri penjelasan,” katanya.

Berbeza dengan PRK Semenyih dengan PH perlu berusaha kuat mempertahankannya, sebaliknya di Rantau mereka perlu menyerang, katanya.

Loke juga berkata, Dr S Streram adalah pilihan calon terbaik dan DAP Negeri Sembilan akan menggerakkan seluruh jentera bagi memastikan kemenangan PH.

Katanya, PH akan terus memperjuangkan politik berasaskan kepelbagaian kaum, berbeza dengan Umno.

“Umno hari ini lebih cenderung menjalin kerjasama dengan PAS meskipun masih bersama MCA dan MIC dalam BN,” katanya.