Proton buka kilang pertama di Pakistan

Dr Mahathir Mohamad menyerahkan replika kunci Proton X70 kepada Imran Khan (kanan) dalam upacara simbolik pecah tanah bagi kilang CKD Proton, di Islamabad hari ini. (Gambar Bernama)

ISLAMABAD: Pakistan yang akan menjadi lokasi kilang pemasangan tempatan (CKD) pertama Proton di Asia Selatan, boleh menjadi pintu masuk kereta nasional Malaysia untuk menembusi pasaran negara lain.

Pengerusi Proton, Syed Faisal Albar berkata, strategi eksport syarikat itu ialah mencari negara yang mempunyai pelbagai perjanjian perdagangan dengan negara lain.

“Diharapkan mereka boleh menjadi pintu masuk bagi Proton, dengan demikian kita tidak perlu ke mana-mana, sebaliknya menumpukan pasaran utama yang mempunyai perjanjian perdagangan dengan negara sekitarnya.

“Ia akan menjadi laluan Proton (bagi pasaran baru),” katanya selepas majlis pecah tanah simbolik kilang itu hari ini.

Acara itu dirasmikan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad dan rakan sejawatannya di Pakistan, Imran Khan di sebuah hotel di sini.

Alhaj Automotive, pengedar rasmi kenderaan Proton di Pakistan akan membuat pelaburan awal AS$30 juta untuk membina kilang di kawasan baru berhampiran Karachi, di wilayah Sindh.

Syed Faisal berkata, Proton sudah menyusun semula strategi eksportnya dengan mencari pasaran berpotensi cerah dan kekal di sana bagi jangka panjang.

“Strategi baru itu termasuk pemasangan kereta di pasaran tempatan berbanding mengekspot kenderaan siap dipasang di Malaysia kepada pengedar di sana untuk dijual.

“Berasaskan itu, anda memberi jaminan kepada kerajaan tempatan di sana atau rangsangan kepada mereka untuk bersama anda bagi jangka panjang, memandangkan Proton akan mewujudkan peluang pekerjaan.

“Seperti perkongsian (di Pakistan), iaitu dalam tempoh 3 tahun, kita akan mewujudkan 2,000 pekerjaan langsung. Kita menganggarkan tahap hiliran, iaitu keseluruhan ekosistem sektor automotif yang kita mahu realisasikan, Proton akan mewujudkan lebih 20,000 pekerjaan sampingan.”

Syed Faisal berkata, Proton memilih Pakistan untuk membangunkan kilang pemasangan luar negaranya kerana pasaran itu memiliki potensi tinggi.

“Terdapat 17 kereta bagi setiap 1,000 orang – angka itu agak rendah. Kita mahu pasaran ini untuk jangka panjang.

“Selain itu, tidak ada banyak jenama asing di Pakistan buat masa ini, sekali gus kita yakin kita memiliki kelebihan penggerak pertama jika memasuki pasaran itu lebih awal, sebelum ia menjadi tumpuan banyak pihak lain. Maka, kita boleh meraih manfaat jangka panjang.”

Syed Faisal berkata, ketika ini, Proton menyasarkan kapasiti pengeluaran sebanyak 25,000 unit setahun mulai Jun 2020 dari kilang baru itu, dengan Saga sebagai model pertama.

“Kita perlu menentukan kedudukan berdasarkan insentif struktur cukai di setiap negara. Proton kini menumpukan Saga semata-mata kerana model itu berkuasa 1.5cc dan ke bawah.

“Struktur cukai bagi 1.6cc dan ke atas berbeza. Kami sedang mengkaji (untuk memperkenalkan) model lain juga, di samping mengkaji tingkah laku pengguna di Pakistan. Sesetengah produk mungkin berhasil di Malaysia dan negara lain, tetapi tidak di negara ini.”

Beliau berkata, Karachi dipilih sebagai tapak kilang itu kerana ia merupakan pusat industri automotif dan rakan kongsi Proton berpangkalan di sana.