Isu projek mega di Taman Rimba Kiara akan diputuskan Kabinet, kata menteri

Khalid Samad berkata, projek pembangunan di Taman Rimba Kiara wajar diteruskan selepas pembangunan bagi tanah seluas 4.8 hektar itu dikurangkan kepada 3.2 hektar.

KUALA LUMPUR: Isu projek pembangunan di Taman Rimba Kiara, Taman Tun Dr Ismail akan dibentang pada mesyuarat Kabinet bulan depan untuk diputuskan, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad.

Beliau berkata, jika projek itu dibatalkan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur perlu membayar pampasan lebih RM150 juta kepada pemaju.

“Ia adalah satu jumlah agak tinggi untuk membayar pampasan itu…oleh kerana penduduk masih membantah, akhirnya saya akan letakkan keputusan itu bagi Kabinet untuk putuskan.

“Saya perlu menyediakan laporan dan menyerahkannya kepada Kabinet yang akan membuat keputusan kemungkinan pada April,” katanya selepas merasmikan Program Perumahan Ku Bersih 2019 di Projek Perumahan Rakyat Beringin, hari ini.

Kontroversi tercetus apabila DBKL pada April 2017 mengeluarkan perintah pembangunan bagi projek mega di atas lot seluas 4.8 hektar daripada 10.1 hektar Taman Rimba Kiara untuk pembinaan satu blok 350 unit rumah mampu milik bagi komuniti rumah panjang Bukit Kiara dan 8 blok kondominium mewah 50 tingkat.

Bagaimanapun, Khalid berpendapat projek pembangunan itu wajar diteruskan apabila pembangunan bagi tanah seluas 4.8 hektar itu dikurangkan kepada 3.2 hektar, selepas mengambil kira bantahan penduduk setempat.

Penyewa jadi tukang bersih bayar tunggakan sewa PA, PPR

Dalam perkembangan lain, DBKL hari ini memperkenalkan “Skim Khidmat Menjelaskan Tunggakan Sewa” bagi mengatasi masalah penghuni mempunyai tunggakan sewa di kawasan perumahan awam dan PPR.

Khalid berkata, DBKL akan melantik penghuni tidak mampu membayar sewa di kawasan perumahan mereka sebagai pekerja kebersihan dengan hasil pendapatan disalur terus kepada DBKL bagi menyelesaikan sewa semasa dan tunggakan sebulan sebelumnya.

“Seramai 281 penghuni di PA dan PPR berstatus pekerja kebersihan dengan 107 lagi dikenal pasti mempunyai sewa tertunggak. Jadi, sekiranya mereka betul-betul tidak mampu bayar sewa, boleh jadi pekerja kebersihan dengan pendapatan sekitar RM800 hingga RM1,300 sebulan.”

Sehingga 31 Januari lalu, sebanyak 25,872 unit PA dan PPR mempunyai tunggakan sewa berjumlah RM25.76 juta meliputi sewaan daripada RM95 hingga RM135.