Kelab golf Seremban tarik balik larangan jual bir

Kelab Golf Antarabangsa Seremban melarang jualan bir sejak Ogos tahun lepas. (Gambar sigc.com.my)

PETALING JAYA: Larangan menjual bir di Kelab Golf Antarabangsa Seremban ditarik balik berikutan keputusan sebulat suara mesyuarat agung luar yang biasa (EGM) yang diadakan malam ini untuk membatalkan larangan yang dikenakan oleh presiden kelab, Menteri Besar Ainuddin Harun.

“Ia ditarik balik serta-merta,” kata ahli kelab, Shanker Ramachandran kepada FMT.

Mesyuarat agung tersebut dipengerusikan oleh timbalan presiden, Razali Ab Malik, yang juga merupakan setiausaha kerajaan Negeri Sembilan.

Shanker yang menghadiri EGM itu berkata, kelab berkenaan menyediakan bir sebelum Ogos tahun lepas, tetapi diharamkan selepas Ainuddin menjadi presiden.

Kerajaan negeri merupakan pemilik padang golf 18 lubang di situ, tetapi 1,500 ahli memiliki bangunan kelab dan kemudahan sukannya.

Ahli kelab berkenaan kebanyakannya terdiri daripada pegawai awam, pesara dan kakitangan sektor swasta.

Sejak 1991, menteri besar dan setiausaha kerajaan negeri dilantik sebagai presiden dan timbalan presiden kelab. Menteri besar juga melantik setiausaha, bendahari, kapten kelab dan 5 ahli jawatankuasa.

Shankar, yang merupakan salah seorang daripada 44 ahli yang memanggil EGM itu berkata, keputusan melarang jualan bir itu bukan sahaja bersifat satu pihak, tetapi juga berlawanan dengan amalan kelab sejak 63 tahun lepas serta kehendak majoriti ahlinya.

Beliau memetik Perkara 4.11 perlembagaan kelab yang membolehkan pembelian, pemerolehan, bekalan, jualan dan urus niaga barangan konsumer, termasuk peralatan golf dan sukan lain, arak, makanan dan kudapan lain yang dikehendaki oleh ahli.

Perkara tersebut dibangkitkan dalam mesyuarat agung tahunan kelab Oktober lepas dan jawatankuasa berjanji akan meneliti isu berkenaan, tetapi tidak ada apa-apa tindakan diambil sebelum ini, kata Shankar.