Kerajaan akan buka tender untuk sistem pengurusan sisa menjadi tenaga

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin berkata, negara perlu memodenkan sistem pengurusan sisa dan beralih daripada tapak pelupusan kepada penyelesaian lebih baik. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Kerajaan akan menawarkan tender kepada syarikat yang berminat untuk membangunkan sistem pengurusan sisa buangan menjadi tenaga (WTE) dalam usaha untuk menyediakan sistem pelupusan sisa buangan lebih selamat di negara ini.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin berkata, kerajaan pada masa ini sedang memperincikan butiran tender itu dan menjangka ia dapat disiapkan dalam tempoh 3 bulan.

“Selepas itu, kami akan mempelawa cadangan (daripada syarikat yang berminat),” katanya selepas merasmikan ‘Pharmacy Renaissance Summit’ anjuran Malaysian Community Pharmacy Guild (MCPG) dan disokong, antara lain, oleh BP Healtcare Group, di sini hari ini.

Yeo berkata, masanya sudah tiba bagi negara ini mempermodenkan sistem pengurusan sisa dan beralih daripada tapak pelupusan yang tidak begitu bersih kepada penyelesaian pengurusan bahan buangan yang lebih baik.

Terdahulu dalam ucapan perasmiannya, Yeo berkata, insiden pencemaran kimia di Pasir Gudang perlu dijadikan pengajaran oleh semua pihak tentang bagaimana setiap sisa buangan, terutamanya sisa berjadual, perlu diuruskan dengan berhati-hati.

“Malaysia memerlukan anjakan paradigma dalam cara bagaimana kita memantau sisa berjadual dan sisa buangan klinikal kita.

“Rakyat Malaysia perlu lebih bertanggungjawab, dan sebagai sebuah kerajaan, bagaimana kami boleh melaksanakan penguatkuasaan yang lebih tegas,” katanya.

Beliau turut memuji inisiatif ‘Green Pharmacy’, iaitu projek perintis yang dilaksanakan MCPG sejak 2017 bertujuan memperkasakan peranan ahli farmasi dalam mendidik dan membantu orang ramai tentang pembuangan barangan tajam dengan cara yang betul.

Yeo berkata, inisiatif itu yang dilaksanakan dengan sokongan kerajaan Pulau Pinang, dimulakan dengan 30 ahli farmasi di Pulau Pinang.

Beliau berkata, didapati ramai pesakit tidak tahu bagaimana dan di mana untuk membuang barangan tajam serta ubat-ubatan yang tamat tempoh dengan sebahagian besar daripada mereka terus membuang ke dalam sisa buangan rumah tangga atau ke dalam longkang.

“Perbuatan seperti itu membahayakan masyarakat. Penyakit dengan mudah dapat merebak dalam kalangan penduduk disebabkan pelupusan bahan buangan klinikal yang tidak betul.

“Ia juga akan memberi kesan terhadap iklim dunia, seperti pemanasan global dan pencemaran. Ini akan memberi kesan kepada pola penyakit manusia di dunia,” katanya.