PKR enggan ulas keputusan Nurul Izzah letak jawatan PAC

Nurul Izzah meletakkan jawatan selepas Ronald Kiandee dikekalkan sebagai pengerusi PAS selepas meninggalkan BN untuk menyertai PPBM.

KUALA LUMPUR: Peletakan jawatan ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar sebagai anggota Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) belum dibincangkan oleh biro politik parti, kata naib presiden PKR, Dr Xavier Jayakumar hari ini.

Xavier enggan mengulas peletakan jawatan itu yang diumumkan oleh Nurul Izzah Jumaat lepas.

“Kita belum membincangkan apa-apa. Jika ia timbul untuk diambil keputusan pada peringkat biro politik, maka kita akan bincangkannya,” kata beliau kepada Bernama.

“Itu keputusan beliau dan ia telah dibuat. Saya tidak mahu mengulas lanjut.”

Peletakan jawatan Nurul Izzah berlaku selepas ahli Parlimen pembangkang, Ronald Kiandee, yang merupakan pengerusi PAC sebelum ini, keluar Barisan Nasional (BN) untuk menyertai parti komponen Pakatan Harapan (PH), PPBM.

Ketika memaklumkan keputusannya di Twitter, Nurul Izzah berkata, “jawatan pengerusi PAC mesti diisi oleh wakil pembangkang bagi menjamin akauntibiliti eksekutif” – prinsip yang menjadi sebahagian daripada dasar penting PH.

Nurul juga berkata, beliau akan terus mengingatkan speaker Dewan supaya meneruskan reformasi yang dijalankan bagi memastikan Parlimen berdiri sama tinggi dengan eksekutif.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata hari ini bahawa kedudukan Ronald Kiandee sebagai pengerusi PAC akan digantikan, tetapi akan terus memegang jawatan itu sehingga pengganti beliau ditemui.