Putrajaya mungkin beli jet China jika terjejas akibat kempen anti-sawit EU

Dr Mahathir Mohamad (tengah) bergambar dengan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar (3 dari kiri), Menteri Industri Utama, Teresa Kok dan Timbalannya, Shamsul Iskandar Mohd Akin (2 dari kanan), selepas melancarkan Kempen Sayangi Sawitku, hari ini.

BANTING: Dr Mahathir Mohamad berkata, Malaysia mungkin membeli jet pejuang dari China dan negara lain, jika ekonomi Malaysia terjejas akibat kempen anti-sawit Kesatuan Eropah.

Perdana menteri berkata, Malaysia mungkin menghentikan pengimportan barang tertentu dari negara Eropah, jika EU terus menyekat kemasukan komoditi itu ke rantau berkenaan.

“Itu kalau EU terus memberi tekanan kepada kita dan cuba memiskinkan kita. Kita tak perlukan jet pejuang hebat pun, kita mana ada duit, beli kapal terbang kecil Cessna sudah memadai.

“Kita bukannya negara yang suka berperang. Ada barang yang kita tetap kena beli dari Eropah, tapi kita takkan beli barangan tertentu.

“…kita beli buatan China sahaja sebab masa di Pakistan semalam, saya sempat menyaksikan persembahan jet pejuang dari China dan teknologi mereka cukup mengagumkan.

“Jadi, kita mungkin terpaksa beli jet pejuang China, saya fikir teknologi mereka tak jauh beza dan ada yang sudah melebihi teknologi Eropah. Ini akan dilakukan sebab sekat minyak sawit kita,” kata perdana menteri ketika berucap pada majlis pelancaran Kempen Sayangi Sawitku hari ini.

Mahathir berkata, beliau sedia maklum mengenai kebimbangan pihak tertentu berhubung isu alam sekitar, namun kempen anti-sawit tidak masuk akal dan akan menjejaskan pendapatan peladang serta ekonomi negara.

Dr Mahathir Mohamad merasmikan Kempen Kempen Sayangi Sawitku di Pulau Carey, hari ini. Turut hadir Menteri Industri Utama, Teresa Kok.

“Kita akan buat kajian mengenai kerjasama minyak sawit dengan Indonesia dan ambil tahu kesan terhadap alam sekitar, malah akan kurangkan eksport komoditi, tapi kempen memburukkan imej industri minyak sawit, kita tak boleh terima.”

Beliau berkata, Putrajaya akan berunding dengan Filipina yang memohon menghentikan sementara pengimportan minyak sawit dari Indonesia dan Malaysia.

“Ia berlaku di Asean, jadi ada peluang boleh berunding mengenai kenapa tindakan diambil oleh mereka dan kita akan cari jalan penyelesaian.”

Malaysia dan Indonesia menghasilkan hampir 90% minyak sawit dunia.

Industri minyak sawit negara berdepan kritikan meluas beberapa tahun ini selepas dikaitkan dengan penebangan hutan yang menjejaskan alam sekitar.

Parlimen EU sebelum ini meluluskan resolusi memboikot penggunaan produk minyak sawit yang dihasilkan menerusi cara tidak mampan menjelang 2030.

Menurut laporan, Parlimen Eropah sedang berbincang mengharamkan penggunaan minyak sawit sebagai bahan api bio, selepas rangkaian runcit British dan Iceland dilapor mengumumkan akan menghentikan penggunaan komoditi itu.