Anggota PAC bimbang jawatankuasa tidak berkesan jika diketuai wakil kerajaan

Anggota PAC, Takiyuddin Hassan.

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) akan menjadi kurang efektif sekiranya pengerusi jawatankuasa itu dilantik dalam kalangan wakil kerajaan Pakatan Harapan (PH), kata anggotanya Takiyuddin Hassan.

Menurutnya, walaupun tiada peruntukan undang-undang yang mengatakan lantikan pengerusi PAC mesti dalam kalangan ahli Parlimen pembangkang, kerajaan PH sudah pun berjanji mengenainya dalam manifesto pilihan raya umum ke-14 pakatan politik itu.

“Kalau zaman Barisan Nasional (BN) dulu pengerusi dari BN dan timbalan pengerusi dari pembangkang, iaitu Dr Tan Seng Giaw, tetapi sekarang nampaknya pengerusi dari kerajaan dan timbalan pun wakil kerajaan. Ini sudah lari agak jauh daripada amalan asal.

“PAC adalah satu badan untuk menyiasat dan memberi saranan kepada kerajaan mengenai teguran audit. Bila teguran dibuat oleh anggota kerajaan, kita bimbang PAC tidak efektif. Paling kurang pengerusi dari kerajaan dan timbalan dari pembangkang,” katanya di lobi Parlimen, hari ini.

Dalam pada itu, Takiyuddin, yang juga setiausaha agung PAS beranggapan Nurul Izzah Anwar mempunyai sebab tersendiri untyuk meletak jawatan sebagai anggota PAC.

“Ada betulnya apa yang dikatakan Nurul Izzah. Satu mengenai keberkesanannya dan satu lagi sebab dia tidak bersetuju apabila PH tidak mengotakan janjinya.

“Walaupun daripada PAS, saya profesional. Yang betul kita kata betul, yang tak betul kita kena kata tak betullah,” kata ahli Parlimen Kota Bharu itu lagi.

Menurut Takiyuddin, ahli Parlimen Umno merupakan calon paling sesuai untuk menerajui PAC.

“Parti pembangkang yang mempunyai bilangan paling ramai sepatutnya jadi pengerusi dan sekarang ini Umno, jadi sepatutnya pengganti pengerusi sebelum ini, Ronald Kiandee, sepatutnya dari Umno.

“Saya difahamkan Umno telah kemukakan calonnya, tetapi belum dilantik,” katanya.

Dalam perkembangan semalam, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan bersetuju untuk mengekalkan Ronald sebagai pengerusi PAC sehingga pengganti beliau dilantik oleh Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Beluran itu yang sebelum ini mewakili BN, keluar Umno untuk menyertai PPBM yang merupakan parti komponen kerajaan PH, sekali gus menjadikan kedudukannya sebagai pengerusi PAC dipersoalkan.