Cerita jururawat IJN: Ahli Parlimen PH buat laporan polis terhadap Lokman Adam

Ahli Parlimen Kangar Noor Amin Ahmad berkata, beliau hanya meminta seorang pengguna Facebook supaya tampil sebagai saksi dalam inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad membuat laporan polis terhadap ahli Majlis Tertinggi Umno, Lokman Noor Adam berhubung dakwaan seorang wanita yang beliau tahu perkara sebenar tentang kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Noor Amin berkata, Lokman menuduh beliau mengugut wanita tersebut, yang hanya dikenali sebagai “Cik Miera” dan dipercayai merupakan jururawat di Institut Jantung Negara (IJN).

Beliau mendakwa mengetahui perkara sebenar tentang bagaimana Adib meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami dalam rusuhan di kuil Seafiled tahun lepas.

“Cik Miera” mendakwa dalam satu catatan Facebook bahawa Adib diserang. Beliau menolak testimoni yang dibuat oleh seorang pakar forensik dalam inkues berkaitan kemaitan Adib.

Pakar tersebut berkata, kecederaan yang dialami Adib tidak konsisten dengan dakwaan beliau dipukul.

Noor Amin berkata, beliau hanya meminta “Cik Miera” supaya tampil sebagai saksi dalam inkues tersebut.

“Saya minta gadis itu memberi keterangan dan tidak menyembunyikan kebenaran jika kenyataannya itu benar,” katanya seperti dipetik oleh Bernama selepas membuat laporan di Balai Polis Kangar hari ini.

Noor Amin berkata, Lokman sebaliknya menuduh beliau mengugut jururawat tersebut dan tuduhan itu bersifat memfitnah.

“Dakwaan Lokman boleh memberi implikasi besar dan mengganggu proses siasatan kes berkenaan,” katanya.

Muhammad Adib merupakan salah seorang anggota pasukan Khidmat Kecemasan Penyelamat Perubatan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya yang ditugaskan ke kuil Sri Maha Mariamman di Seafield pada 27 Nov tahun lepas.

Beliau dipercayai diserang di situ.

Inkues ke atas kematian beliau diadakan oleh kerajaan tahun ini berikutan percanggahan pendapat tentang punca kematian anggota bomba berkenaan susulan rusuhan yang berlaku di Seafield.

Seorang pakar patologi, Dr Ahmad Hafizam Hasmi baru-baru ini berkata, Adib tidak dipukul berdasarkan corak kecederaan yang biasa ditemui pada tubuh mangsa.