Ibu bapa perlu lebih berperanan pantau anak tonton pornografi, kata aktivis

Satu kajian mendedahkan bahawa majoriti kanak-kanak berumur 10 ke 17 tahun mahu menonton pornografi. (Gambar Reuters)

PETALING JAYA: Aktivis hak kanak-kanak menggesa ibu bapa supaya memertingkat usaha memantau kegiatan atas talian anak mereka, berikutan kajian yang menunjukkan hampir 80% remaja Malaysia mahu menonton pornografi.

Pengerusi pertubuhan bukan bermatlamat keuntungan Voice of the Children, Sharmila Sekaran berkata, ibu bapa perlu lebih mahir berkaitan internet bagi mendidik anak mereka bagaimana untuk melayarinya dengan selamat.

Beliau merujuk satu kajian oleh kumpulan Malaysian Against Pornography yang mendedahkan bahawa majoriti kanak-kanak berumur 10 ke 17 tahun mahu menonton pornografi, dan 98% daripada mereka yang berumur 13 ke 17 tahun menjadi mangsa perbuatan pengantunan seks atas talian.

Ketua kumpulan itu, Dr Shamsuriani Md Jamal menasihati ibu bapa supaya mengawasi rapat aktiviti media sosial anak mereka.

Kata beliau, mereka yang terlibat dalam aktiviti pengantunan atas talian akan mewujudkan akaun media sosial palsu untuk mendekati remaja dan meminta mereka menghantar gambar bogel atau melakukan aksi seks di depan kamera.

“Ibu bapa perlu mendidik dan mengingatkan anak-anak supaya tidak menerima permintaan untuk berkawan daripada orang tidak dikenali kerana di dunia maya, orang boleh menyamar menjadi siapa sahaja yang diingini,” katanya.

Sharmila, yang juga peguam bersetuju bahawa ibu bapa bertanggungjawab untuk tahu “apakah yang berlaku dalam kehidupan anak mereka” sama ada di atas talian atau sebaliknya.

Beliau menasihati ibu bapa supaya belajar bagaimana untuk menggunakan perisian “firewalls” dan mendidik anak mereka tentang “etika baik dan keselamatan internet”, dengan berkata, kanak-kanak kadang-kadang terjumpa kandungan pornografi di internet.

“Ibu bapa perlu mendidik anak-anak dengan mengajar, melatih, bercakap, mendengar serta memandu dalam semua aspek kehidupan mereka.

“Mereka tidak boleh membiarkan anak-nak begitu sahaja, tetapi tiba-tiba muncul ketika mereka berumur belasan tahun.”

Sharmila berkata, kerajaan dan pihak berkuasa sekolah juga boleh membantu dengan menyediakan modul mengenai seks dan kesihatan reproduktif dengan sokongan syarikat telekomunikasi dan penyedia perkhidmatan internet.

“Lambat laun kanak-kanak dan remaja akan terdedah juga kepada isu mengenai seks jadi pilihannya ialah antara kita mengajar mereka tentangnya secara formal dan terkawal bagi menjamin keselamatan mereka sejak awal atau mereka mempelajarinya melalui internet,” kata beliau.

Dalam pada itu, pengamal perubatan yang berpangkalan di Sabah, Dr John Teo berkata, pengantunan seks melalui mesej berunsur seks tidak berpunca daripada akses kepada pornografi semata-mata.

Teo, pakar kehamilan remaja berkata, terdapat beberapa pendekatan bagi mengurangkan aktiviti sedemikian, termasuk kelas pendidikan seks di sekolah.

Cara lain termasuklah meningkatkan kesedaran dan penglibatan masyarakat tentang bahaya akses internet, selain mendidik ibu bapa dan guru tentang literasi digital dan media sosial.

“Satu pendekatan holistik mengenai pronografi atas talian diperlukan dengan menggabungkan pelbagai strategi bagi menjamin kanak-kanak mempunyai masa depan lebih cerah,” katanya.

Putrajaya menggesa kumpulan kajian berkenaan supaya mendedahkan metodologi kajian yang digunakan, termasuk cara bagaimana kajian itu dibuat, saiz sampel dan bagaimana ia membuat “rumusan yang membimbangkan” itu.

Maklumat terperinci kajian itu bagaimanapun belum disiarkan kepada orang awam.