Kabinet putuskan pertikaian Rimba Kiara bulan depan

Penduduk setempat membantah rancangan pembinaan rumah mampu milik dan apartmen di Taman Rimba Kiara. (Gambar Facebook)

KUALA LUMPUR: Pertikaian berlanjutan berhubung Taman Rimba Kiara di Taman Tun Dr Ismail mungkin akan diputuskan oleh Kabinet bulan depan, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad semalam.

Penduduk setempat membantah rancangan pembinaan 350 unit rumah mampu milik dan 8 blok apartmen 50 tingkat di tapak seluas 4.8 hektar di situ.

Mereka berkata, Taman Rimba Kiara merupakan satu-satunya kawasan hijau yang masih ada di ibu negara.

Khalid berkata, pampasan lebih RM150 juta perlu dibayar kepada pemaju sekiranya cadangan skim perumahan itu dibatalkan.

““Ia adalah satu jumlah yang agak tinggi untuk membayar pampasan itu…oleh kerana penduduk masih lagi membantah, akhirnya saya akan letakkan keputusan itu bagi Kabinet untuk putuskan,” kata Khalid seperti dilaporkan oleh Bernama.

“Saya perlu menyediakan kertas laporan dan mengemukakannya kepada Kabinet yang akan membuat keputusan kemungkinan pada April,” katanya.

Khalid berkata, projek itu wajar diteruskan apabila pembangunan di tanah seluas 4.8 hektar itu mahu dikurangkan kepada 3.2 hektar selepas mengambil kira bantahan penduduk setempat.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Program Perumahan Ku Bersih 2019 di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Beringin.

Khalid berkata, DBKL akan melantik penghuni yang tidak mampu membayar sewa di kawasan perumahan mereka sebagai pekerja kebersihan dengan hasil pendapatan akan disalur terus kepada DBKL bagi menyelesaikan sewa semasa dan yang tertunggak sebulan sebelumnya.

“Seramai 107 lagi dikenal pasti mempunyai sewa tertunggak.
Jadi sekiranya mereka betul-betul tidak mampu, mereka boleh menjadi pekerja kebersihan dengan pendapatan dari RM800 ke RM1,300 sebulan,” katanya.

Jumlah tunggakan sewa sehingga Januari tahun ini ialah sebanyak RM25.76 juta melibatkan 25,852 flet dengan harga sewaan bermula dari RM95 hingga RM135.