Kisah menarik 5 pelumba Petronas Yamaha SRT jika tidak menjadi pelumba

Perlumbaan pembukaan pertama bagi Kejohanan Dunia MotoGP 2019 yang membuka tirai di litar Losail, Qatar 10 Mac lalu sudahpun berakhir dan menyaksikan kemenangan Ducati.

Manakala perlumbaan seterusnya di litar Sirkit Termas de Rio Hondo, Argentina 31 Mac ini sudah pasti ditunggu-tunggu oleh pelumba MotoGP yang mahu merebut gelaran juara.

Selain nama terkemuka seperti Ducati, Aprilia, Yamaha, Honda dan KTM, Malaysia juga tidak melepaskan peluang untuk menghantar wakil bagi merebut gelaran juara dalam kejohanan yang diadakan setiap tahun.

Tahun ini, Malaysia menghantar 5 ahli pasukan pelumba PETRONAS Yamaha Sepang Racing Team (SRT) yang terdiri daripada Fabio Quartararo, Franco Morbidelli, Ayumu Sasaki, John McPhee dan Khairul Idham Pawi.

Masing-masing mempunyai kebolehan, pengalaman, kepakaran dan kehebatan dalam perlumbaan yang tersendiri.

Fabio Quartararo menyifatkan menjadi sebahagian daripada pelumba MotoGP hadiah paling istimewa

Pemenang tempat ke-10 Kejohanan Dunia Moto2, Fabio Quartararo, 19, menganggap terpilih menjadi sebahagian daripada pasukan pelumba MotoGP adalah antara hadiah paling istimewa pernah diterima dalam hidup.

Di samping, beliau pernah menyertai dan memenangi beberapa perlumbaan di usia muda.

“Podium pertama yang saya sertai adalah di MotoGP Amerika pada tahun 2015.

“Kedua, bila menjulang kemenangan pertama di Kejohanan Dunia MotoGP Barcelona tahun lalu. Seterusnya, haruslah bila saya menandatangani perjanjian untuk berlumba di MotoGP pada Julai tahun lalu,” katanya.

Quartararo juga berkongsi impiannya iaitu untuk berada dalam MotoGP dan menjuarai perlumbaan di peringkat dunia adalah salah satu impiannya sewaktu kecil.

Katanya, jika tidak menjadi pelumba hari ini, dia mungkin bekerja untuk Formula 1 (F1) atau MotoGP paddock.

“Kalau korang ingin tahu, saya juga pernah teringin menjadi pegawai polis saintifik sewaktu kecil,” katanya sambil tertawa.

Franco Morbidelli tidak pernah berhasrat menjadi pelumba motosikal

Bagi kita atau beberapa lagi pelumba yang lain, salah satu pekerjaan yang diimpikan adalah menjadi pelumba motosikal.

Namun, sudah tentu semua tidak menyangka Franco Morbidelli, 24, mahu menjadi jurutera mekanikal dan pakar bedah veterinar.

“Kalau saya tidak menjadi pelumba hari ini, saya mahu menyambung pelajaran dalam jurusan mekanikal dan menjadi jurutera.

“Masa kecil juga, saya teringin menjadi pakar bedah veterinar kerana begitu sayang akan haiwan,” katanya.

Nampak penyayangnya Morbidelli ni!

Morbidelli juga berkongsi detik manis dalam hidupnya apabila dia berjaya mendapat gelaran European Stock600 pada tahun 2013, menyertai podium pertama di Kejohanan Dunia Moto2 – Indianapolis GP pada tahun 2015.

Beliau juga menjuarai Moto2 di Malaysia GP pada tahun 2017 dan turut dianugerahkan gelaran Rookie of The Year 2017 pada tahun yang sama.

Ayumu Sasaki bintang paling muda, tapi luar biasa di litar

Bagi pelumba paling muda, Ayumu Sasaki, 18, berkongsi dia banyak menyertai kelas karate sebelum menjadi pelumba.

Ketika beliau berusia 8 tahun, datuknya membelikannya motosikal.

Sejak itu, beliau banyak berlatih dan sehingga hari ini, dia sudah menyertai kira-kira 6 perlumbaan.

Antara perlumbaan yang beliau pernah sertai:

2018: Moto3 World Championship (20th – 50 points)

2017: Moto3 World Championship (20th – 32 points / 2017 Rookie of the Year)

2016: Red Bull Rookies Cup (1st – 250 points) / Moto3 Junior World Championship (7th – 83 points)

2015: Asia Talent Cup (1st – 203 points) / Red Bull Rookies Cup (3rd – 161 points) / Moto3 Junior World Championship (21st – 21 points)

2014: Asia Talent Cup (4th – 111 points)

Sasaki yang berasal dari Jepun turut berkongsi, beliau mahu menjadi ahli bomba ketika berusia 5 tahun.

Namun, selorohnya, “Nak bangun awal pun susah masa kecil, sebab asyik tidur. Ada hati nak jadi ahli bomba konon”.

John McPhee berpengalaman 6 tahun dalam Moto3 digunakan sepenuhnya

John McPhee merupakan pelumba berusia 24 tahun dengan pengalaman enam tahun di kelas Moto3.

Dilahirkan dan dibesarkan di Scotland di United Kingdom, bekas pesaing Kejohanan Dunia 125cc ini secara rasminya membuat debut Moto3nya pada tahun 2013, berikutan lapan penyertaan wildcard pada musim 2012 dengan penamat terbaik tempat ke-15 di Brno, dan telah menjadi pelumba sepenuh masa sejak itu.

McPhee mencapai podium pertamanya pada tahun 2015 di tempat kedua di Indianapolis.

Pelumba Scotland itu telah meraih lima lagi podium termasuk kemenangan di Brno pada 2016 dan empat kedudukan petak pertama permulaan sebagai rekod pencapaiannya.

John McPhee boleh disifatkan berada dalam barisan Pengejar Impian PETRONAS tahun ini.

Namun siapa sangka McPhee pernah berhasrat menjadi askar sewaktu kecil.

Khairul Idham Pawi berjaya jadi pelumba selepas pujuk ayah beli motosikal

Siapa yang tidak kenal Khairul Idham Pawi, 20, selepas berjaya menjadi mencipta kemenangan sensasi di Grand Prix Argentina pada 3 April 2016, kemenangannya menjadi bualan seluruh negara.

Ketika itu Khairul Idham hanyalah berusia 17 tahun, menjadi pelumba Malaysia pertama yang memenangi perlumbaan di kejuaraan peringkat dunia itu.

Khairul Idham berkata jika tidak menjadi pelumba sekarang ini, rasanya dia akan duduk bersama ayahnya di kampung selepas habis belajar malah mahu .

“Kalau ada peluang, saya nak jadi pemain bola sepak kerana saya kerap bermain bola sepak sewaktu kecil dulu,” katanya.

Ternyata segala-galanya berubah selepas dia mula menceburi bidang permotoran ketika berusia 13 tahun selepas berjaya memujuk ayahnya supaya membelikannya sebuah motosikal.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]