New Zealand tubuh Suruhanjaya Siasatan Diraja kaji serangan ganas di Christchurch

Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern berkata, siasatan akan menentukan sama ada agensi keselamatan memberikan tumpuan betul dan sama ada terdapat petunjuk yang mereka terlepas pandang. (Gambar Bernama)

WELLINGTON: Suruhanjaya Siasatan Diraja akan meneliti serangan pengganas di Christchurch, lapor agensi berita China Xinhua memetik pengumuman Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern pada Isnin.

Ia akan menyiasat keadaan tertentu yang membawa kepada serangan ganas di 2 buah masjid di Christchurch pada 15 Mac.

Bercakap selepas mesyuarat Kabinet mingguan, Ardern mengakui persoalan berkaitan isu bagaimana serangan itu boleh berlaku, termasuk bagaimana penembak mendapat senjata terbabit, peranan media sosial dan peranan agensi yang berkenaan, harus dijawab.

Siasatan akan menentukan sama ada agensi keselamatan memberikan tumpuan ke arah yang betul dan sama ada terdapat sebarang petunjuk yang mereka terlepas pandang.

Pembentukan suruhanjaya siasatan diraja merupakan respons paling serius terhadap sesuatu yang boleh ambil oleh kerajaan New Zealand.

Ia menyiasat perkara yang amat penting dan sukar.

Serangan ganas ke atas 2 buah masjid di Christchurch telah meragut sekurang-kurangnya 50 nyawa dan mencederakan 50 yang lain.

Serangan ganas itu telah membawa kepada perubahan dalam undang-undang senjata api di negara tersebut.