15 lokasi ‘hotspot’ risiko lemas wajib semua ketahui sempena cuti sekolah

Cuti sekolah sememangnya amat dinantikan baik kanak-kanak mahupun ibu bapa.

Ia adalah masa di mana keluarga pergi bercuti jauh dari hiruk pikuk Bandar dan pada masa yang sama merapatkan lagi hubungan kekeluargaan.

Sudah pasti ada yang merancang untuk membawa anak-anak ke pusat rekreasi seperti air terjun, pantai dan pulau peranginan.

Tambahan pula dengan keadaan cuaca panas yang sedang melanda negara ketika ini sudah pasti seronok dapat mandi-manda di samping menghirup udara segar.

Namun, jangan lupa apa jua aktiviti yang dilakukan perlulah sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dan utamakan keselamatan.

Berikut Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah mengenal pasti 15 lokasi yang berisiko tinggi berlaku kejadian mati lemas.

Insiden mati lemas meningkat
Menerusi data Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) terdapat beberapa lokasi yang mencatatkan insiden mati lemas lebih daripada lima mangsa antara tahun 2016 dan 2018.

Pada tahun lalu, sebanyak 182 insiden mati lemas dilaporkan di kawasan sungai atau tali air, 58 di pantai, 39 di lombong atau tasik dan 27 insiden di air terjun.

Berdasarkan data JBPM bagi kejadian mati lemas kawasan rekreasi adalah sebanyak 260 kes pada 2016; 327 kes pada 2017 dan 309 kes pada 2018.

Oleh itu, adalah penting untuk semua ibu bapa mengawal pergerakan anak-anak semasa berkunjung ke tempat rekreasi dan patuh kepada tanda amaran melarang aktiviti air atau panduan keselamatan di kawasan berisiko tinggi.

Lokasi ‘hotspot’ mati lemas
Jadi, kepada anda yang merancang untuk membawa anak-anak ke pusat rekreasi melibatkan air, berhati-hatilah di kawasan-kawasan ini:

Kawasan sungai

  • Sungai Kampung Batu Payung, Tawau Sabah (15 nyawa)
  • Sungai Sekolah Kebangsaan Cina Kampung Timah, Sungai Tinggi, Selangor (7)
  • Sungai Kampung Sabak, Pengkalan Chepa, Kelantan (6)
  • Sungai Chiling, Kuala Kubu Bharu, Selangor (6)
  • Sungai Gasi, Sungai Buloh, Selangor (5)

Kawasan pantai

  • Pantai Nipah, Bachok, Kelantan (14)
  • Muara Tok Bali, pasir Puteh, Kelantan (7)
  • Teluk Bahang, Pulau Pinang (7)

Kawasan lombang/empangan

  • Empangan Semenyih, Semenyih, Selangor (10)
  • Empangan Taman Putra Perdana, Puchong, Selangor (10)
  • Jambatan Stesen KTM, Sungai Buloh, Selangor (5)

Kawasan air terjun

  • Sungai Sendat, Ulu Yam, Selangor (12)
  • Sekayu, Terengganu (11)
  • Lata Berembun, Raub, Pahang (10)
  • Chamang, Bentong, Pahang (5)

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]