Mengejutkan… Setiap telefon bimbit mempunyai emas, perak dan tembaga selepas dikisar

Sekumpulan saintis Universiti Plymouth, London menggunakan mesin pengisar bagi menghancurkan sebuah telefon bimbit dan melakukan analisis kimia untuk mengetahui bahan yang terkandung di dalamnya.

Selepas telefon bimbit itu dikisar, saintis-saintis itu mencampurkan alat komunikasi itu dengan natrium peroksida.

Keputusan analisis itu menunjukkan peranti tersebut mengandungi 33 gram (g) besi, 13g silikon, 7g kromium selain turut mengandungi elemen kritikal termasuk 900 miligram (mg) tungsten, 70mg kobalt dan molibdenum, 160mg neodimium serta 30mg praseodimium.

Mereka turut menemui 90mg perak dan 36mg emas.

Menurut kumpulan penyelidik itu, hasil kajian tersebut menunjukkan setiap telefon bimbit yang dikeluarkan akan memerlukan antara 10 kilogram (kg) hingga 15kg bahan galian kasar termasuk 7kg bijih emas gred tinggi, 1kg bijih tembaga biasa, 750g bijih tungsten dan 200g bijih nikel.

Setiap tahun, sebanyak 1.4 bilion telefon bimbit dikeluarkan di seluruh dunia.

Kajian itu dijalankan bagi membuktikan kandungan bahan yang boleh dikitar semula untuk mengurangkan pencemaran dan beban menggali bijih logam dari kerak bumi selain asal usul sumber bahan di dalam telefon bimbit itu.

“Apabila melihat apa yang ada di dalam telefon bimbit, jawapan biasanya ialah tungsten dan kobalt dari zon konflik di Afrika.

“Semua ini perlu dilombong untuk mendapatkan bijih bernilai tinggi yang memberi beban besar kepada planet ini,” kata pensyarah kajian batu igneus di Universiti Plymouth, Dr. Arjan Dijkstra. – Agensi

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]