Didikan Islam gagal tangani kerosakan alam sekitar, kata aktivis

Elemen agama dengan kewartawanan seharusnya menjadi alat mendidik di Malaysia.

PETALING JAYA: Didikan agama sebenarnya berupaya menangani kerosakan alam sekitar namun ia tidak berlaku di Malaysia kerana masyarakat Islam negara ini hanya menumpukan hubungan dengan Tuhan, kata aktivis.

“Orang Islam di Malaysia lebih memberatkan amalan dengan solat, puasa dan lain-lain.

“Mereka dilihat tidak menghiraukan hubungan agama dengan alam sekitar dan manusia yang lain,” kata bekas presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia, Prof Maketab Mohamed kepada FMT.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada elemen agama berupaya mengubah sikap masyarakat agar lebih peka dan prihatin terhadap alam sekitar.

Sebelum ini, negara dikejutkan dengan pencemaran udara di Pasir Gudang, Johor yang berpunca daripada gas toksik dan bahan kimia berbahaya yang dibuang ke dalam Sungai Kim Kim.

Gas toksik daripada sisa buangan itu menyebabkan lebih 1,000 penduduk terjejas, kebanyakannya pelajar yang tinggal berdekatan sungai terbabit, manakala 111 sekolah diarah tutup.

Maketab Mohamed.

Mengulas lanjut, Maketab berkata, didikan agama berupaya memelihara dan memulihara alam sekitar mengikut konteks yang sesuai.

“Ianya bergantung kepada komitmen dan pengetahuan.

“Sebagai contoh, makan telur tuntung sudah bertukar daripada asalnya harus kepada haram.

“Hal ini kerana, dalam konteks agama, status telur tuntung ini hampir pupus atau Critically Endangered (CR) mengikut IUCN Red List,” katanya.

Tambahnya, hukum yang dikeluarkan mengikut fikah agama boleh membantu masyarakat untuk tidak menjadikan telur itu sebagai bahan makanan, selain menjamin hidupan liar dan ekosistem terus dijaga.