Jururawat IJN mohon maaf di inkues atas dakwaan mengenai Adib

SHAH ALAM: Seorang jururawat Institut Jantung Negara (IJN) yang mendakwa dia ternampak lebam-lebam pada muka Muhammad Adib Mohd Kassim memberitahu Mahkamah Koroner hari ini bahawa dia emosi ketika membuat dakwaan itu.

Siti Syafika Amira Mohd Rasani berkata dia membuat dakwaan itu tanpa mengetahui fakta sebenar mengenai keadaan Adib.

Beliau berkata rakan sejawatnya, Ashraf memberitahunya bahawa Adib mengaku dipukul.

Siti Syafika memberitahu pegawai pengendali inkues, Zharfan Hamzah bahawa dia emosi semasa menaip kenyataannya di Facebook selepas terbaca mengenai Adib di media sosial.

Siti Syafika merujuk kepada pembantu perubatan IJN, Ashraf Baruji yang dalam keterangannya kepada inkues berkata Adib beri isyarat dia ditarik dan dipukul ketika rusuhan di kuil Seafield.

Siti Syafika memohon maaf atas kenyataannya di Facebook yang disiarkan pada Jumaat dan berkata akaun “Cik Miera” tidak lagi aktif.

Syafika dalam kenyataan itu juga mengkritik keterangan pakar forensik Hospital Kuala Lumpur, Dr Ahmad Hafizam Hasmi yang berkata kecederaan Adib tidak sepadan ditumbuk atau ditendang.

Kerana kenyataannya di Facebook, Syafika dipanggil untuk memberi penjelasan kepada ketua jururawat dan jabatan sumber manusia IJN.

Jururawat itu berkata pertama kali dia ternampak Adib adalah pada 28 November tahun lalu, apabila anggota bomba itu dimasukkan ke IJN.

Syafika berkata apabila dia dibawa ke unit rawatan rapi, dia nampak wajab Adib bengkak dan ada lebam pada dada kanan, peha dan kerandut Adib.

Sepanjang 21 hari Adib berada di IJN, Siti Syafika mengendalikan anggota bomba itu 3 kali mengenai alat “extracorporeal membrane oxygenation” atau Ecmo.

Adib, 24, yang juga anggota EMRS Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, parah dalam rusuhan di luar Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November lalu.

Beliau meninggal dunia pada 17 Disember lalu, 3 minggu selepas dirawat di IJN.