Kenapa jual menara di Hong Kong secara rundingan terus, Guan Eng tanya Najib

Bangunan Malaysia setinggi 28 tingkat di Jalan Gloucester, Wanchai yang menempatkan pejabat Konsulat Malaysia di Hong Kong. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Menteri kewangan meminta bekas perdana menteri, Najib Razak menjelaskan keputusan kerajaan terdahulu pimpinannya menjual tanah dan sebuah menara milik kerajaan di Hong Kong pada harga RM1.1 bilion menerusi rundingan terus yang akan menyebabkan Putrajaya kerugian RM500 juta.

Lim Guan Eng dalam satu kenyataan hari ini berkata, kementeriannya dengan kelulusan Kabinet memutuskan tanah dan bangunan 28 tingkat di Jalan Gloucester, Wanchai dijual secara tender terbuka, bukannya rundingan terus seperti diputuskan kerajaan terdahulu.

“Keputusan ini selaras komitmen kerajaan untuk menjalankan pentadbiran berpandukan prinsip cekap, akauntabiliti dan telus (CAT) untuk memastikan kebajikan rakyat dipelihara dengan sebaiknya dalam setiap keadaan.

“Proses tender terbuka untuk penjualan tanah dan bangunan tersebut sedang berjalan dan diyakini akan memberi hasil bersesuaian dengan nilai sebenar hartanah tersebut, dan memberi penjimatan terhadap perbelanjaan kewangan kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Lim dilaporkan berkata, Kementerian Kewangan menerima beberapa tawaran mencecah RM1.6 bilion, RM500 juta lebih tinggi daripada harga ditawarkan sebuah syarikat Malaysia menerusi rundingan terus kepada kerajaan terdahulu sebelum pilihan raya umum ke-14 tahun lalu.

Katanya, kerajaan pimpinan Najib memutuskan untuk menjual tanah dan bangunan yang menempatkan pejabat Konsulat Malaysia itu kerana tidak mampu menanggung kos baik pulih sebanyak RM300 juta.

Hari ini, Lim berkata, beliau kesal dengan tindakan Najib cuba mengelak menjelaskan keputusan kerajaan pimpinannya menjual tanah dan bangunan itu menerusi rundingan terus, bukannya tender terbuka.

“Beliau cuba mengalihkan perhatian dengan bertanya sama ada projek terowong dasar laut di Pulau Pinang juga dijalankan secara tender terbuka.

“Perlu ditegaskan projek terowong dasar laut di Pulau Pinang dijalankan secara tender terbuka, selaras dasar kerajaan Pulau Pinang yang dipimpin Pakatan Harapan.”