Lokman Adam dijangka didakwa esok kerana pergelutan dengan pelajar

Lokman Noor Adam.

PETALING JAYA: Pemimpin Umno, Lokman Noor Adam dijangka akan didakwa di mahkamah esok, dipercayai kerana pergelutan melibatkan pelajar universiti yang menunjuk perasaan terhadap bekas perdana menteri Najib Razak.

Berdasarkan surat polis yang dilihat FMT, ahli majlis tertinggi Umno itu dikehendaki hadir di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di ibu negara pada 9 pagi.

Lokman dirakam mengoyakkan plakad yang dibawa para pelajar yang menunjuk perasaan pada Jumaat lepas.

Beliau berkata, plakad itu memaparkan karikatur badut yang menyerupai Najib, adalah satu penghinaan terhadap bekas perdana menteri yang menghadiri satu dialog bersama para pelajar di sebuah restoran berdekatan Universiti Malaya.

Beliau berkata para pelajar bebas berhimpun tetapi tidak patut menghina Najib.

Pemimpin pelajar terbabit, Wong Yan Ke mendakwa mereka dikasari penyokong Najib.

Sebanyak 26 keterangan diambil polis berhubung perkara itu.