Mahkamah benarkan 2 remaja dituduh bunuh CEO Cradle Fund diikat jamin

Kedua-dua tertuduh memfailkan permohonan ikat jamin selepas seorang daripada mereka mendakwa diserang secara fizikal dan seksual dalam tahanan.

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini membenarkan 2 remaja didakwa membunuh Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund, Nazrin Hassan, dibebaskan dengan jaminan sementara menunggu perbicaraan kes.

Hakim, Ab Karim Ab Rahman berkata, memberi jaminan kepada tertuduh didakwa melakukan kesalahan tidak boleh diikat jamin seperti pembunuhan, bukan amalan luar biasa.

“Mahkamah sebelum ini membenarkan jaminan untuk seorang remaja yang didakwa membunuh guru tuisyennya.”

Mahkamah menetapkan jaminan RM50,000 dengan 2 penjamin bagi setiap remaja itu.

Mereka memfailkan permohonan ikat jamin selepas seorang daripada tertuduh itu mendakwa dia diserang secara fizikal dan seksual oleh rakan tahanan di pusat tahanan di Sentul.

Mereka didakwa membunuh Nazrin di rumahnya di Mutiara Damansara, Petaling Jaya, antara 11.30 malam 13 Jun dan 4 pagi 14 Jun 2018. Balu Nazrin, Samirah Muzaffar turut berdepan dakwaan pembunuhan.

Pada 12 Mac lalu, Samirah bersama 2 remaja lelaki berusia 13 dan 16 tahun itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi atas pertuduhan membunuh Nazrin tahun lalu.

Pihak berkuasa pada mulanya menyatakan Nazrin meninggal dunia akibat letupan telefon bimbit yang dicas di tepi katil.

Bagaimanapun, polis pada Ogos 2018 mengklasifikasikan kematian Nazrin sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan berdasarkan laporan bedah siasat pertama serta Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Jenazah Nazrin digali semula Oktober lalu untuk bedah siasat ke-2 kerana ahli keluarganya tidak berpuas hati dengan laporan bedah siasat terdahulu.

Susulan itu, Samirah bersama bekas suaminya, 2 remaja dan adik ipar Nazrin ditahan polis, sebelum mereka dibebaskan tanpa sebarang pendakwaan.

Baru-baru ini, media melaporkan hasil bedah siasat ke-2 mendapati Nazrin meninggal dunia akibat kecederaan di kepala, bukannya letupan telefon bimbit yang dicas berdekatannya.