Pisang berbuah 2 kali apabila PH bertindak gelojoh

Isu Statut Rom bagaikan boleh dijangka. Selepas kerajaan Pakatan Harapan dengan yakin menandatangani perjanjian itu, Dr Mahathir Mohamad semalam dilaporkan membuat pusingan U dengan berkata, bukan semua peruntukan di bawah Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) akan dilaksanakan di Malaysia.

Beliau berkata, kerajaan akan melihat kandungan perjanjian itu dan memilih perkara baik dan boleh diterima masyarakat umum di negara ini.

Walaupun contoh yang diberikan Mahathir mengenai perkara yang tidak boleh dilaksanakan pelik dan janggal dalam konteks Statut Rom, ia sekali lagi mengundang pelbagai ketidaktentuan hasil daripada pendekatan gelojoh kerajaan PH.

“Sebagai contoh, Statut Rom memberi kebebasan mutlak kepada semua orang untuk melakukan semua benda. Kini, ada lelaki berkahwin dengan lelaki, perempuan berkahwin dengan perempuan, dan saya sendiri tak tahu apa yang mereka lakukan selepas berkahwin.

“Mereka ini orang yang pelik dan kita tidak mahu jadi pelik seperti mereka. Itu kita tidak boleh terima. Kita hanya mahu lakukan perkara yang baik-baik sahaja,” kata Mahathir.

Ada beberapa perkara yang amat membimbangkan dalam kenyataan perdana menteri itu. Pertama, adakah beliau dan pihak kerajaan benar-benar faham kandungan Statut Rom sebelum mereka memilih untuk tandatangan?

Ini kerana, berdasarkan penjelasan beliau dan kandungan Statut Rom, tiada peruntukan disediakan mengenai perkahwinan sejenis dan sebagainya.

Statut Rom sebenarnya memberi kuasa kepada ICC mendakwa individu terbabit dalam jenayah perang spesifik.

Ke-2, Statut Rom tidak membenarkan mana-mana negara membuat sebarang pengecualian berdasarkan Perkara 20. Merujuk teks asal “No reservations may be made to this Statute”, Malaysia memang tidak mempunyai hak untuk memilih klausa tertentu kerana kini ia dibawah kuasa ICC sepenuhnya.

Perkara 27 turut menyatakan semua pihak tanpa mengira pangkat rasmi akan tertakluk kepada bidang kuasa ICC yang mana perkara ini bercanggah Perlembagaan Persekutuan kerana Yang di-Pertuan Agong mempunyai kedudukan istimewa.

Ke-3, tahukah anda bidang kuasa ICC kekal walaupun sesebuah negara itu menarik diri daripada Statut Rom? Perkara ini baru berlaku di negara jiran, Filipina yang mana mereke menarik diri daripada perjanjian itu pada 18 Mac lalu.

Menurut pejabat pendakwa raya, Perkara 127.2 Statut Rom mengekalkan bidang kuasa ICC terhadap jenayah yang dilakukan semasa sesebuah negara masih menjadi ahli Statut Rom dan ICC boleh bertindak untuk mendakwa, walaupun selepas sesebuah negara menarik diri.

Lebih menarik jika dibaca ruangan komen di Facebook ICC yang rata-rata rakyat Filipina mengalu-alukan tindakan Manila menarik diri daripada perjanjian itu.

Isu Statut Rom bagaikan pisang berbuah 2 kali, sama seperti Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang mana kerajaan mengumumkan niat mengiktiraf perjanjian itu tanpa berunding dengan rakyat.

Sekali lagi, pendekatan sama diambil, kerajaan PH bertindak gelojoh menandatangani Statut Rom tanpa rundingan dengan pihak berkepentingan, yang mana dalam kes ini ialah Majlis Raja-raja.

Rahman Talib ialah pembaca FMT.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.