Rayuan ditolak… Dovizioso dinobatkan juara MotoGP di Qatar

Penunggang Ducati, Andrea Dovizioso dinobatkan sebagai juara Grand Prix (GP) Qatar, dua minggu selepas perlumbaan pembuka tirai itu berakhir apabila Mahkamah Rayuan MotoGP memutuskan kemenangan pasukan Itali itu sebagai sah.

Empat pasukan, termasuk penyandang juara Repsol Honda melakukan protes terhadap Ducati susulan penggunaan ‘winglet’ pada jentera pasukan itu yang dianggap tidak boleh dibenarkan bagi tujuan aerodinamik.

Ducati bagaimanapun dalam hujahnya berkata perkakasan yang digunakan di ‘swingarm’ belakang itu adalah bagi tujuan penyejukan.

Dovizioso menewaskan penunggang Repsol Honda, yang juga penyandang juara dunia Marc Marquez dengan kelebihan 0.023 saat selepas mengharungi perlumbaan yang mengujakan di Litar Losail pada 10 Mac lalu.

Mahkamah Rayuan, yang keputusan itu dikeluarkan Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM) menolak permintaan untuk mengisytiharkan alat itu menyalahi peraturan dan larangan penggunaannya dalam perlumbaan selepas ini.

“Keputusan perlumbaan sementara disahkan dan diisytiharkan sebagai final,” kata badan induk itu.

Empat pasukan, Repsol Honda, Aprilia, Suzuki dan KTM kini mempunyai lima hari bagi membuat rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Perlumbaan pusingan kedua MotoGP musim ini dijadual berlangsung di Litar Termas de Rio Hondo di Argentina, hujung minggu ini.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]