RM14.22 juta dibelanja untuk selenggara Equanimity setakat ini, kata Guan Eng

Kapal mewah yang pernah dimiliki ahli perniagaan kontroversi Low Taek Jho, kini berlabuh di Langkawi.

KUALA LUMPUR: Putrajaya belanja RM14.22 juta untuk menyelenggara kapal mewah Equanimity sejak Ogos lalu, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng kepada Dewan Rakyat hari ini.

Dalam jawapan bertulisnya, beliau menjelaskan RM11 juta dibelanjakan dari Ogos hingga Disember lalu, sementara RM3.22 juta lagi dari Januari hingga bulan ini untuk kapal tersebut, yang kini berlabuh di Langkawi.

Menurut Lim, perbelanjaan termasuk penyelenggaraan, pembaikan, minyak, yuran guaman, insurans dan kos berkaitan proses penjualan kapal tersebut.

Kapal itu kini bawah jagaan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Katanya, syarikat pengurusan Wilson Yacht Management Ltd dilantik Ogos lalu untuk menyelenggara kapal tersebut.

Menjawab pertanyaan Noh Omar (BN-Tanjung Karang), syarikat itu dilantik kerana ia berpengalaman dalam menyelenggara kapal-kapal mewah.

Noh mahu tahu kos penyelenggaraan Equanimity dan kenapa ia masih disimpan.

Lim berkata, proses jualan kini dalam fasa kedua memandangkan harga dalam fasa pertama tidak dipersetujui.

Menteri berkata prosesnya sekarang ini secara perjanjian peribadi (private treaty) atau jualan terus dan dijangka selesai pada 31 Mac.