KWSP labur RM117.56 bilion melalui pengurus dana luar

Pengerusi KWSP, Samsuddin Osman. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah menyalurkan pengurusan dana sebanyak RM117.56 bilion kepada pengurus dana luaran bagi tempoh setakat 31 Dis, 2018 iaitu meningkat 2.62% berbanding RM114.56 bilion pada 2017.

Pengerusinya, Samsudin Osman berkata, peruntukan itu yang dilaburkan dalam ekuiti dan instrumen pendapatan tetap merupakan 14.10% daripada keseluruhan aset pelaburan KWSP.

“Seiring dengan peningkatan saiz dana KWSP, kami akan terus menyalurkan sebahagian dana kepada pengurus dana luaran yang juga sebahagian daripada program pempelbagaian KWSP serta pengurusan prestasi aset secara lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Berucap pada majlis Anugerah Tahunan Pengurus Dana/Portfolio Luaran KWSP 2019 di sini semalam, Samsudin berkata, mulai tahun ini, Jabatan Pengurus Dana Luaran KWSP yang baru ditubuhkan akan memperkemas usaha pemantauan aspek pengurusan dana luaran membabitkan ekuiti dan kelas aset pendapatan tetap.

Menurutnya, ini bertujuan meninjau pengetahuan khusus pengurus dana, kemahiran dan dedahan bagi memastikan pulangan mampan dan ada nilai tambah bagi tempoh jangka panjang.

“Usaha penstrukturan semula itu akan memberi KWSP maklumat lebih jelas mengenai aktiviti pengurus dana luaran dan menjadikannya lebih efektif dari segi pemantauan prestasi, komunikasi serta melaksanakan strategi pelaburan KWSP.

“Ini penting agar seiring dengan falsafah teras pelaburan untuk meraih pulangan tinggi yang diselaras dengan risiko serta perspektif jangka panjang,” katanya.

Pada majlis itu, sebanyak 20 anugerah diserahkan kepada pengurus dana luaran yang cemerlang, seiring dengan matlamat anugerah untuk menghargai mereka yang terbukti berjaya menguruskan portfolio pelaburan KWSP.

“KWSP menetapkan standard tinggi terhadap prestasi dana kami. Oleh itu, kami mahu meraikan semua pengurus dana tersebut di atas sumbangan mereka kepada pencapaian KWSP sejak setahun lepas yang turut memberi impak kepada kesejahteraan persaraan ahli kami,” kata beliau.