Lokman Adam dakwa berdepan pertuduhan terpilih, berniat jahat

Lokman Noor Adam berserah kepada Allah dan akan menerima apa saja keputusan mahkamah.

KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Tertinggi Umno, Lokman Noor Adam menyifatkan pendakwaan ke atasnya berniat jahat, susulan pergelutan membabitkan pelajar Universiti Malaya yang mengadakan demonstrasi terhadap bekas perdana menteri, Najib Razak, Jumaat lalu.

Beliau turut mempersoalkan pihak berkuasa yang tidak mengambil tindakan terhadap sekumpulan pelajar mengadakan himpunan tanpa kebenaran sehingga mengganggu program sembang santai Najib bersama pelajar di Restoran Amjal berdekatan UM, minggu lalu.

“Ini jelas menunjukkan pertuduhan terhadap saya berniat jahat dan saya anggap ia pertuduhan terpilih kerana pelajar yang telah buat demonstrasi.

“Ke-2, mereka mempamerkan satu karikatur yang telah diputuskan mahkamah berbentuk penghinaan dan provokasi. Ke-3, mereka mengeluarkan kata-kata kesat kepada Najib sebagai pencuri, perompak.

“Saya sedih bukan kerana saya didakwa. Saya tidak ada masalah mereka nak dakwa saya, walaupun saya tahu kita tidak akan beralah.

“Kita boleh menangkis sekiranya negara ini mengamalkan ‘rule of law’. Jadi, saya serah kepada Allah, saya terima apa keputusannya,” katanya di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, sebelum pendakwaan terhadapnya bermula hari ini.

Lokman menjangkakan beliau berdepan 2 pertuduhan kerana mengoyak poster dan mendatangkan kecederaan kepada pelajar UM terbabit.

Semalam, Lokman melalui Facebooknya berkata, Ketua Umno Bahagian Petaling Jaya Mutalif Abdul Rahim bersama 2 lagi individu juga akan dihadapkan ke mahkamah berhubung kes itu.

“Saya dikatakan akan dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaaan yang akan dibaca bersama Seksyen 149 Kanun Keseksaan, di mana kononnya saya telah mendatangkan kecederaan (kepada salah seorang mahasiswa).”

Jumaat lalu, media melaporkan berlaku pergelutan antara pelajar UM dan Najib di depan Restoran Amjal berdekatan UM ketika ahli Parlimen Pekan itu menghadiri program sembang santai bersama pelajar UM di dalam restoran berkenaan.

Lokman kemudiannya dirakam mengoyak plakad tertera karikatur badut menyerupai Najib dan mempertahankan tindakannya dengan menyifatkan plakad itu “menghina Najib”.

Pengerusi Persatuan Belia Baru UM (Umany), Wong Yan Ke kemudiannya dilaporkan membuat laporan polis pada 23 Mac lalu dengan mendakwa 2 ahli Umno bersama individu lain mengasari beliau dan 6 pelajar lain, selain mengoyak plakad tertera “Mana RM2.6 billion?” dan poster karikatur badut menyerupai Najib yang dipegang pelajar lain.

Wong dilaporkan berkata, mereka mempunyai hak mengadakan perhimpunan aman untuk menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap sikap hipokrit Najib dan 1MDB.