Mayat tertanam belakang rumah, anggota polis diberkas

BATU PAHAT: Seorang anggota polis ditahan selepas mayat seorang lelaki ditemukan ditanam di belakang rumahnya di Bandar Putera Indah, Tongkang Pechah, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Batu PahaT, Azhan Abdul Halim berkata penemuan pada 5.30 petang itu adalah susulan laporan polis mengenai kehilangan seorang lelaki berusia 37 tahun pada 18 Mac lepas.

Laporan polis berhubung kehilangan Zulkifli Musa itu dibuat oleh isterinya setelah lelaki tersebut tidak pulang ke rumah mereka di Kampung Tambak selepas keluar pada 9 malam, katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azhan berkata bertindak atas maklumat sepasukan polis ke lokasi dan membuat pemeriksaan di rumah suspek sebelum menemukan timbunan tanah merah di belakang rumah tersebut.

“Pemeriksaan lanjut menemukan mayat dipercayai mangsa yang dilaporkan hilang, ditanam di situ,” katanya.

Beliau berkata suspek berusia 38 tahun itu didapati positif dadah jenis metamfetamina dan kes disiasat menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.