Najib enggan ulas isu aset di Hong Kong, tunggu Guan Eng jawab dakwaan Raja Petra

Bekas perdana menteri Najib Razak juga enggan mengulas laporan badan pemikir di Washington DC, CRP, bahawa beliau melantik beberapa firma di AS untuk meningkatkan imejnya berikutan kes 1MDB.

KUALA LUMPUR: Bekas perdana menteri Najib Razak enggan memberi respons terhadap dakwaan Menteri Kewangan Lim Guan Eng bahawa keputusan menjual aset kerajaan di Hong Kong dibuat sewaktu pentadbiran Barisan Nasional (BN).

Najib sebaliknya berkata, beliau akan memberi maklum balas berkaitan perkara itu selepas Lim menjawab tuduhan penulis blog yang mendedahkan satu laporan siasatan yang didakwa milik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.

“Tidak, saya hanya akan beri komen selepas Lim jawab tuduhan sama ada pendedahan penulis blog, Raja Petra Kamaruddin, itu maklumat betul atau tidak. Dia (Lim) harus jawab dulu perkara itu.

“Takkanlah kita sahaja yang hendak komen. Saya tahu apa yang kami lakukan. Saya boleh komen (berkaitan penjualan aset di Hong Kong), tetapi dia harus komen dulu,” katanya sewaktu ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Najib berkata, sekiranya Lim memberikan maklum balas berkaitan dakwaan rasuah membabitkan projek pembinaan terowong dasar laut itu, beliau akan minta bekas menteri luar Anifah Aman menjawab soalan berkaitan isu penjualan aset di Hong Kong.

Terdahulu, Lim mendakwa keputusan menjual aset di Hong Kong dibuat oleh pentadbiran BN menerusi kaedah rundingan terus, dan nilai tawaran yang diterima kerajaan BN jauh lebih rendah, iaitu RM1.1 bilion, berbanding tawaran yang diterima kerajaan sekarang.

Ia susulan laporan akhbar Ming Pao yang mendedahkan Kumpulan Evergrande China kini dalam perbincangan untuk membeli bangunan milik kerajaan Malaysia di Hong Kong.

Kerajaan merancang untuk menjual bangunan 28 tingkat itu pada harga HK$3.1 bilion atau kira-kira RM1.61 bilion yang terletak di Wan Chai, Hong Kong.

Najib juga enggan mengulas laporan badan pemikir Washington DC, Centre for Responsive Politics (CRP), yang melaporkan beliau melantik beberapa firma di Amerika Syarikat untuk meningkatkan imej berikutan kes 1MDB.

Ia termasuk sebuah firma yang diketuai bekas peguam negara AS, John Ashcroft dan sebuah firma baru yang dikatakan rapat dengan pentadbiran presiden negara itu, Donald Trump.

Menurut CRP, “foreign agent on record” Najib di firma Ashcroft adalah Mark Corallo, bekas jurucakap pasukan peguam persendirian Trump dalam siasatan berkaitan Rusia.

“Tidak ada komen,” katanya.