Jangan hanya tumpu ibadah khusus, tapi abai alam sekitar, kata mufti P Pinang

Wan Salim Wan Mohd Noor bersetuju dengan pencinta alam sekitar, Maketab Mohamed yang umat Islam di Malaysia cenderung mengehadkan diri kepada ibadah khusus seperti solat, puasa dan menunaikan haji serta umrah di Makkah. (Gambar Bernama)

GEORGE TOWN: Mufti Pulau Pinang mengingatkan umat Islam mengenai tanggungjawab agama mereka untuk melindungi alam sekitar.

Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, ada umat Islam di negara ini yang dilihat sudah melupakan konsep ibadah yang meliputi tingkah laku dalam semua aspek kehidupan dan hubungan mereka dengan semua ciptaan.

Katanya, beliau bersetuju dengan pencinta alam sekitar, Maketab Mohamed yang umat Islam di negara ini cenderung mengehadkan diri kepada ibadah khusus seperti solat, puasa dan menunaikan haji serta umrah di Makkah.

Bekas presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia itu baru-baru ini memberitahu FMT, beliau percaya umat Islam di Malaysia yang bersemangat dengan ibadah sedemikian, gagal melihat kepentingan Islam meletakkan kewajipan mereka untuk memelihara alam sekitar.

Wan Salim berkata, seseorang umat Islam akan melampaui prinsip melakukan kebaikan dan menjauhi kemungkaran, jika mereka bertindak merosakkan alam sekitar.

Katanya, ada banyak surah dalam al-Quran yang menghalang umatnya merosakkan alam sekitar, antaranya Surah al-Baqarah ayat 60, al-A’raf ayat 74 dan al-Syu’ara’ ayat 77.

“Disebabkan manusia ialah satu-satunya agen perosak alam sekitar melalui pencemaran atau pembangunan tidak bertanggungjawab, manusia perlu diajar lebih peka dalam melindungi alam sekitar.”

Beliau menggesa pelaksanaan undang-undang lebih baik dan penguatkuasaan lebih ketat bagi menghalang pencemaran air, udara dan ekosistem lain.

Katanya, setiap umat Islam juga perlu menyedari tahap kepercayaan mereka boleh dinilai dengan tindak balas mereka terhadap kemusnahan alam sekitar.

Beliau menggesa mereka yang berkuasa supaya mengambil tindakan untuk menghalang kemusnahan alam sekitar, manakala individu tiada kuasa perlu bersuara atau menunjukkan bantahan mereka.