Karpal Singh bebas dakwaan hasutan

Karpal Singh. (Gambar Facebook)

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini membebaskan mendiang Karpal Singh daripada pertuduhan hasutan atas satu kesalahan yang didakwa dilakukannya 10 tahun lalu.

Panel 7 hakim yang dipengerusikan Hakim Besar Malaya, Zaharah Ibrahim berkata, Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan melakukan kesilapan arah yang serius.

Katanya, Karpal sudah membuat keterangan bersumpah ketika membela diri dan hakim perlu mempertimbangkannya seperti dikehendaki undang-undang.

“Hakim pada akhir kes pembelaan itu hanya menjawab penghakiman Mahkamah Rayuan (pada 2012).”

Katanya, Mahkamah Rayuan dalam majoriti penghakimannya pada 2016 juga gagal mempertimbangkan pembelaan Karpal.

“Berdasarkan keadaan kes ini, kami berpendapat kegagalan itu adalah salah arah yang serius dan menyebabkan salah laksana keadilan yang tidak boleh dipulihkan di bawah syarat kepada Subseksyen 92 (1) Akta Mahkamah Kehakiman 1964,” katanya dalam keputusan sebulat suara.

Katanya, panel itu tidak akan mempertimbangkan alasan lain dalam rayuan itu.

“Oleh itu, kami membenarkan kedua-dua rayuan berkaitan sabitan dan hukuman ke atas perayu.”

Panel itu turut dianggotai Hakim Besar Sabah dan Sarawak, David Wong Dak Wah, Ramly Ali, Alizatul Khir Osman Khairuddin, Abang Iskandar Abang Hashim, Idrus Harun dan Nallini Pathmanathan.

Karpal yang merupakan bekas pengerusi kebangsaan DAP, didakwa pada 2010 kerana mempersoalkan tindakan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, menggugurkan bekas menteri besar, Mohammad Nizar Jamaluddin ketika krisis perlembagaan Perak pada 2009.

Karpal meninggal dunia dalam kemalangan di Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Gua Tempurung pada 17 April 2014. Balunya, Gurmit Kaur, yang juga pentadbir hartanya, kemudian menjadi perayu ganti.

Pada 30 Mei 2016, Mahkamah Rayuan dalam keputusan 2-1 membenarkan rayuan Karpal dan denda dikurangkan daripada RM4,000 kepada RM1,800. Bagaimanapun, sabitan bersalah dikekalkan.

Dengan keputusan itu, Gurmit layak menerima pencen Karpal dan manfaat lain yang diberikan kepada wakil dipilih.

Hakim, Mohtarudin Baki bersama Kamardin Hashim, memutuskan sabitan itu adalah selamat.

Bagaimanapun, Hakim Tengku Maimun Tuan Mat yang kini berkhidmat di Mahkamah Persekutuan, mendapati pembelaan Karpal terletak di bawah Seksyen 3(2) Akta Hasutan.

“Tertuduh mahu menunjukkan sultan silap.”

Hakim, Azman Abdullah pada Jun 2010 membebaskan Karpal daripada tuduhan itu. Tetapi, Mahkamah Rayuan pada 2012 mengarahkan beliau membela diri susulan rayuan difailkan kerajaan.

Hakim sama yang membebaskan Karpal mendapati beliau bersalah atas kesalahan itu pada 2014, sebulan sebelum beliau meninggal dunia.

Terdahulu, peguam, Ramkarpal Singh yang juga anak Karpal dalam penghujahannya berkata, pembebasan itu

susulan salah arah serius yang dilakukan Mahkamah Tinggi dan majoriti hakim di Mahkamah Rayuan.

Katanya, hakim perbicaraan tidak mempertimbangkan pembelaan Karpal secara bebas.

“Beliau dipengaruhi penghakiman Mahkamah Rayuan (pada 2012) yang memutuskan tiada pembelaan untuk Karpal.”

Ramkarpal berkata, Karpal hanya memberi pendapatnya yang sultan itu terkeliru atau tersilap beberapa langkah.

Katanya, Mahkamah Rayuan pada 2016 mengakui hakim perbicaraan tersilap dalam undang-undang dan fakta, tetapi 2 daripada 3 hakim itu mengesahkan sabitan bapanya.

“Majoriti turut tersilap dalam mengekalkan sabitan itu,” katanya sambil menambah Karpal dinafikan hak berperlembagaan untuk dibicarakan secara adil.