PAS, MIC sah jalin kerjasama

Kerjasama MIC-PAS akan memperkukuhkan blok pembangkang khususnya bagi menghadapi PRK DUN Rantau. (Facebook pic)

KUALA LUMPUR: MIC menjadi parti komponen ke-2 dalam Barisan Nasional (BN) selepas Umno menjalinkan kerjasama politik dengan PAS.

Presiden MIC, S A Vigneswaran berkata, keputusan itu sekali gus akan memperkukuhkan blok pembangkang khususnya bagi menghadapi pilihan raya kecil (PRK) DUN Rantau, 13 April ini.

“”Kami yakin terhadap kepimpinan PAS dan kerjasama ini berada di landasan yang betul,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan mesyuarat hampir 2 jam dengan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang dan barisan kepemimpinan tertinggi kedua-dua parti di Ibu Pejabat MIC, semalam.

Sementara itu, Hadi optimis kerjasama itu akan membawa perubahan baru dalam politik PAS selain sebagai persedian PRK Rantau yang bermula selepas penamaan calon pada Sabtu ini.

“PAS amat menyanjungi MIC sejak dahulu lagi. Kita percaya kerjasama ini membuka tekad baru dalam menghadapi cabaran politik masa hadapan,” katanya.

Hadir sama Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan.