Penyelidik ramal ekonomi tumbuh kurang memberangsangkan pada suku pertama

KUALA LUMPUR: Malaysia dijangka mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang kurang memberangsangkan pada suku pertama 2019, dengan pemulihan pada suku kedua, disebabkan ketidaktentuan mengenai rundingan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China, menurut MIDF Research.

Dalam nota penyelidikan hari ini, katanya ini sejajar dengan trend yang pesimis dicerminkan oleh Indeks Pengurus Pembelian Pembuatan Nikkei bagi Malaysia, yang mencatatkan di bawah 50 mata untuk 5 bulan berturut-turut sejak Oktober 2018.

“Mengenai masa depan, kami menjangka pemulihan yang kukuh pada suku kedua dan juga separuh kedua tahun ini dalam keadaan harga komoditi yang meningkat secara berperingkat, permintaan domestik yang kukuh dan kesan daripada perang perdagangan yang berkurangan,” menurut firma penyelidikan itu.

Awal minggu ini, MIDF Research mengunjurkan ekonomi negara akan berkembang kepada 4.9% tahun ke tahun pada 2019, iaitu lebih tinggi daripada unjuran Bank Negara Malaysia yang antara 4.3% dan 4.8%.

Dalam nota penyelidikannya yang terkini, katanya harga minyak mentah Brent meningkat dengan kukuh sejak Januari 2019 pada purata AS$60.50 setong dan mencecah AS$66.10 setong pada Mac 2019.

“Permintaan global dijangka pulih terutamanya jika AS dan China mencapai persetujuan tidak lama lagi.

“Di peringkat tempatan, keadaan pekerjaan penuh dan tekanan inflasi yang rendah menjadi faktor sokongan utama kepada permintaan domestik,” katanya.

Selain itu, katanya pengumuman mengenai projek infrastruktur berkaitan kerajaan akan memberi sentimen positif kepada pertumbuhan ekonomi, katanya.

Sementara itu, MIDF Research berkata inflasi pengguna Malaysia dijangka kekal rendah susulan harga lebih rendah dihadkan untuk RON95 dan diesel, masing-masing pada RM2.08 dan RM2.18 seliter.

Bagaimanapun, faktor yang mendorong permintaan kekal kukuh dalam keadaan pasaran pekerjaan yang stabil dan pertumbuhan gaji yang kukuh, katanya.