Syarikat tebus guna tanah nafi lambak lumpur di perairan Pulau Pinang

Lakaran projek tebus guna tanah STP2 di pesisir timur laut Pulau Pinang.

GEORGE TOWN: Syarikat yang menjalankan kerja menebus guna tanah di pesisir Tanjung Pinang dan Gurney Drive menafikan dakwaan sekumpulan nelayan bahawa ia melambakkan sisa lumpur di perairan Pulau Pinang.

Kumpulan nelayan itu berkata, perbuatan tersebut dilakukan dalam perjalanan ke Pulau Kendi, sebuah pulau kecil di barat daya Pulau Pinang, menyebabkan jaring mereka kerap tersangkut dalam sisa lumpur daripada kerja-kerja penebusgunaan tanah, terutamanya di sekitar Teluk Bahang.

Tanjung Pinang Development Sdn Bhd (TPD) bagaimanapun berkata, ia tidak pernah membuang sisa lumpur di Pulau Kendi atau di perairan Pulau Pinang.

Dalam satu kenyataan, ia berkata, ia membuang sisa lumpur dan selut di kawasan pembuangan khas di Teluk Duyung, itu di sebuah tanjung tinggi di barat laut Pulau Pinang.

Ia berkata, kali terakhir pembuangan sisa sedemikian dibuat ialah antara Mei 2016 hingga Mei 2018 dengan pemantauan penuh oleh Jabatan Alam Sekitar melalui sistem pengurusan pengorekan dan pembuangan.

Syarikat berkenaan mencabar dakwaan nelayan bahawa sisa lumpur boleh hanyut ke Teluk Bahang dengan berkata, aliran mendapan dan arus dari kawasan tebus guna tidak mungkin sampai ke Teluk Bahang yang terletak ke arah barat laut.

TPD juga berkata, “hanyutan susur pesisir bersih” bergerak dari barat laut ke arah tenggara, iaitu ke arah bertentangan dari Teluk Bahang.

Ia berkata, dakwaan serupa pernah dibuat sebelum kerja-kerja tebus guna dimulakan pada April 2016.

“Ini menunjukkan penemuan selut atau lumpur berlaku sebelum bermulanya projek STP2,” katanya, dengan merujuk kepada projek tebus guna Seri Tanjung Pinang 2.

“Kami mengekalkan rekod pematuhan dan kerja tebus guna dilakukan sentiasa mematuhi syarat kajian penilaian kesan alam sekitar terperinci, selain syarat daripada semua pihak berkuasa berkaitan.”

Seri Tanjung Pinang (STP) yang terletak di pantai timur laut Tanjung Tokong terdiri daripada 2 fasa. Fasa pertama (STP1) projek tebus guna itu meliputi kawasan seluas 240 ekar dan disiapkan pada 2006.

Kerja tebus guna fasa kedua (STP2) seluas 760 ekar dimulakan pada 2016 dan sedang berjalan.

Sejumlah 20 ekar daripada kawasan tebus guna STP1 diserahkan kepada kerajaan Pulau Pinang untuk kegunaan jajaran Lebuhraya Lingkaran Luar Pulau Pinang.

Kawasan seluas 20 ekar ini akan digantikan dalam STP2, justeru pertambahan keluasan asalnya dari 740 ke 760 ekar.

TPC juga menjalankan kerja tebus guna tanah seluas 131 ekar di pesisir bawah Gurney Drive bagi pihak kerajaan Pulau Pinang.

Ia berkata, kerja-kerja yang sedang berjalan sekarang ialah di pesisir Straits Quay Marina, Seri Tanjung Pinang, yang bermula November tahun lepas dan dijangka siap bulan depan.

“Bahan korekan diguna semula dan dilupuskan dalam ruang terhad di STP2.

“Kerja-kerja itu dipantau oleh sistem pemantauan kekeruhan atau jumlah pepejal terampai secara atas talian 24 jam.”