UEM Sunrise, Grab Partners meterai kerjasama saling beri keutamaan

KUALA LUMPUR: UEM Sunrise Bhd (UEMS)memeterai satu perjanjian kerjasama dengan syarikat-syarikat bersekutu GrabTaxi Holdings Pte Ltd untuk memberikan keutamaan kepada UEMS dalam kawasan lingkungan kawalan UEMS dan/atau syarikat berkaitannya berbanding pemaju hartanah yang lain.

Kerjasama yang dibentuk secara bukan eksklusif itu, sebaliknya, akan membolehkan UEMS memberi keutamaan kepada gabungan itu berbanding mana-mana pilihan pengangkutan serta penyedia perkhidmatan e-bayar lain di kawasan berkenaan, kata pemaju hartanah itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Keutamaan akan diberi kepada lokasi tertentu dalam Mont Kiara, Dutamas dan Iskandar Puteri termasuk kawasan-kawasan lain yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

Hari ini, syarikat mengadakan perjanjian dengan GPay Network (M) Sdn Bhd, Grabcar Sdn Bhd dan Myteksi Sdn Bhd, secara kolektif dirujuk sebagai Grab Partners, bagi mengukuhkan istilah dan peruntukan yang diperincikan bawah memorandum persefahaman yang ditandatangani pada Oktober 2018.

UEMS dan Grab Partners juga akan memulakan langkah penjenamaan dan inisiatif pemasaran untuk saling menyokong kecekapan, kepakaran dan bidang atau ruang persamaan, masing-masing bagi menonjolkan sinergi terbaik yang dimiliki oleh kedua-dua pihak untuk kebaikan kerjasama itu.

Sebarang kos yang berkaitan dengan aktiviti yang dijalankan bawah kerjasama itu akan ditanggung secara bersama atau berasingan bergantung kepada jenis aktiviti.

Kerjasama adalah sah selama 2 tahun mulai 2 Oktober 2018.