Anwar: Jangan keterlaluan semasa berkempen, janji tak guna jentera kerajaan

SEREMBAN: Presiden PKR Anwar Ibrahim berjanji partinya tidak akan menggunakan jentera kerajaan pada pilihan raya kecil DUN Rantau yang bermula hari ini, beberapa jam selepas kenderaan bergencana rasmi dilihat di luar pusat penamaan calon.

Anwar berkata dia sudah menasihatkan ahli-ahli parti supaya tidak keterlaluan semasa berkempen, yang akan berakhir pada tengah malam 12 April nanti.

“Kita tidak akan menggunakan jentera kerajaan untuk mendapat undi. Itu prinsip kami,” katanya kepada pemberita selepas Dr S Streram dinamakan salah seorang daripada 4 yang akan merebut DUN Rantau.

Terdahulu, kemunculan kereta milik speaker dan timbalan speaker Dewan Undangan Negeri Sembilan berhampiran pusat penamaan calon hari ini menjadi perhatian media, sehari selepas Pakatan Harapan dikritik badan pemantau pilihan raya, Bersih 2.0 berhubung pemberian kupon makanan kepada pelajar kurang bernasib baik di beberapa sekolah di Rantau.

Suruhanjaya Pilihan Raya berkata penggunaan kereta rasmi kerajaan yang diperuntukkan kepada individu boleh digunakan untuk semua tujuan, termasuk kempen politik, dan tidak menyalahi Akta Kesalahan Pilihan Raya.

Hanya kenderaan yang diperuntukkan kepada jabatan atau agensi kerajaan tidak boleh digunakan dalam kempen politik, kata Timbalan Pengerusi Azmi Sharom.

Ditanya mengenai kritikan Bersih 2.0 mengenai pemberian kupon makanan itu, Anwar mengambil maklum teguran itu dan menyerahkannya kepada SPR.

PRK Rantau menyaksikan pertandingan 4 penjuru antara calon bertahan, Mohamad Hasan, 62 dari BN, Streram, 59, dari PH dan 2 calon bebas, Malar Rajaram, 51, dan Mohd Nor Yassin, 67.