Dr M: Belum boleh dedah laporan penasihat kerana rundingan belum selesai

PETALING JAYA: Kerajaan belum boleh mendedahkan laporan Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) kepada umum memandangkan ada beberapa perkara di dalamnya yang masih di peringkat rundingan, kata Dr Mahathir Mohamad.

Perdana menteri sedar kerajaan dituduh tidak telus kerana pendirian itu, namun pihaknya memerlukan sedikit masa sebelum membuat keputusan seterusnya.

“Saya tidak tahu apa dia yang kita tidak boleh cerita sebab kita cerita semua, tapi ada perkara-perkara dalam rundingan dan kita tidak boleh dedah apa yang kita berunding sehinggalah keputusan dicapai,” katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan jubli perak Permodalan Kedah Bhd di Langkawi hari ini.

Mahathir mengulas gesaan pelbagai pihak agar kerajaan mendedahkan laporan itu yang pada masa ini diletakkan bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Terdahulu, Pengerusi CEP Daim Zainuddin dilapor menyokong cadangan membuka laporannya kepada orang awam untuk dibahaskan, namun terdapat maklumat dalam laporan itu yang tertakluk kepada OSA.