MCA rayu SPR siasat agihan kupon percuma di DUN Rantau, rancang lapor polis

SEREMBAN: MCA Negeri Sembilan merayu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melakukan siasatan segera ke atas pengagihan kupon makanan percuma oleh Ahli Parlimen Miri, Dr Michael Teo Yu Keng kepada 5 buah sekolah di Rantau beberapa hari sebelum kempen pilihan raya kecil bermula hari ini.

Pengerusi Siow Koi Voon merayu SPR mengambil tindakan tegas kerana pemberian kupon kepada kanak-kanak merupakan bantuan tidak langsung yang boleh mempengaruhi ibu bapa menyokong PH.

“Kami mohon SPR berikan jawatan mengenai isu ini,” katanya kepada pemberita pada sidang media di pejabat MCA Rantau hari ini.

Beliau memaklumkan MCA merancang untuk membuat laporan polis. Ketua Pemuda MCA Rembau, Yong Chien Huang pula memaklumkan Biro Undang-undang MCA Negeri Sembilan dalam proses menulis surat kepada SPR.

“Kami amat harapkan satu tindakan segera dan jawapan diberikan segera oleh SPR agar standard pilihan raya dapat dipertingkatkan,” katanya.

Semalam, SPR menggesa laporan polis dibuat berhubung pemberian kupon makanan percuma itu agar tindakan dapat diambil jika menyalahi undang-undang.

Timbalan Pengerusi Azmi Sharon berkata mengedarkan kupon makanan boleh dianggap rasuah jamuan bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya, tetapi mahkamah masih perlu menjelaskan adakah jamuan sebelum hari penamaan calon suatu kesalahan.