Miti kaji semula profil 36 syarikat diberi AP

Timbalan Menteri Perdagangan dan Industri Ong Kian Ming.

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagagan dan Industri (Miti) akan mula mengkaji semulaprofil 36 syarikat yang menerima kelulusan permit import (AP) bagi memastikan mereka mematuhi syarat ditetapkan.

Timbalan menteri berkaitan, Ong Kian Ming berkata, kementerian menerima aduan bahawa terdapat pemegang AP itu tidak mematuhi syarat sebagai syarikat AP terbuka.

“Beberapa aduan dan laporan diterima oleh MITI bahawa terdapat syarikat baru ini yang tidak mematuhi syarat seperti tidak mempunyai keupayaan kewangan dan tiada pengalaman dalam penjualan dan pengedaran kenderaaan.

“Terdapat juga aduan bahawa syarikat ini mempunyai perancangan untuk menjual AP yang diperuntukkan kepada pihak ketiga,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Syarikat terbabit perlu menyerahkan dokumen, maklumat, lesen berkaitandan penyata kewangan bagi tahun 2015-2018 kepada Miti dalam tempoh 7 hari bekerja, bermula dari tarikh surat yang dikeluarkan kementerian berkenaan.

“Kegagalan syarikat memberi kerjasama dan mengemukakan dokumen berkenaan dalam tempoh ditetapkan boleh menjejaskan sebarang permohonan AP oleh syarikat-pada masa depan.

“Audit berperingkat ke atas syarikat sedia ada akan dilaksanakan bagi memastikan syarat sebagai syarikat AP Terbuka di bawah dasar baru telah dipatuhi,” kata Ong.