PRK Rantau: SPR sasar 70% keluar mengundi

Timbalan Pengerusi SPR Azmi Sharom berkata, angka peratusan itu mungkin meningkat seperti yang dicapai dalam PRK Semenyih.

SEREMBAN: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyasarkan sebanyak 70% pemilih akan keluar mengundi pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, 13 April ini.

Timbalan Pengerusi SPR Azmi Sharom berkata, bagaimanapun angka peratusan itu berkemungkinan meningkat seperti yang dicapai dalam PRK DUN Semenyih.

“Semenyih sebanyak 73%, jadi ini akan menjadi cabaran kepada penduduk di Rantau. SPR berharap pengundi dapat menunaikan hak dan tanggungjawab mereka,” katanya dalam sidang media selepas proses penamaan calon PRK DUN Rantau di sini, hari ini.

Azmi berkata, beberapa aspek penambahbaikan yang dilaksanakan pada PRK sebelum ini akan diteruskan, termasuk menambah 11 saluran baru di pusat mengundi yang mempunyai ramai pengundi, iaitu daripada 44 saluran kepada 55 saluran.

“Pengundi berumur 60 tahun ke atas akan diwujudkan 2 saluran, tambahan waktu mengundi selama 30 minit, iaitu daripada pukul 8 pagi hingga 5.30 petang berbanding 8 pagi hingga 5 petang sebelum ini,” katanya.

Azmi berkata seramai 541 pengundi OKU telah dikenal pasti dan berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat, yang akan mengundi di saluran 1.

“SPR akan menyiarkan proses pengiraan secara siaran langsung melalui Facebook dengan mengambil kira kesesuaiannya di satu saluran di pusat mengundi yang terpilih sebagai satu pendedahan dan kesedaran kepada masyarakat mengenai proses pengiraan undi semasa pilihan raya,” katanya.

Azmi berkata, keputusan PRK itu dijangka diumumkan sebelum pukul 10 malam pada hari pengundian.

“Selain itu, bagi PRK ini, SPR telah memilih 137 orang pemerhati pilihan raya daripada 15 organisasi yang terdiri daripada agensi kerajaan, badan bukan kerajaan, organisasi dan individu yang berkelayakan untuk memantau proses pilihan raya ini.

“Bagi tujuan memantau aktiviti berkempen sepanjang tempoh rasmi berkempen, SPR juga menubuhkan 4 pasukan penguatkuasa kempen pilihan raya (PP-KPR) selaras dengan peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 27B Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” katanya.

Beliau berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga membuka bilik gerakannya di PRK DUN Rantau dan suruhanjaya itu juga akan membuat pemantauan di lapangan.