Suri rumah antara calon PRK Rantau

Calon Bebas PRK DUN Rantau, Malar Rajaram.

SEREMBAN: Seorang suri rumah merupakan antara calon yang berhasrat mempertaruhkan idea dan semangat menentang timbalan presiden Umno, Mohamad Hassan dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau 13 April depan.

Malar Rajaram, 51, adalah salah seorang calon Bebas yang sah bertanding dalam PRK Rantau apabila pegumumuan dibuat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selepas tempoh penamaan calon ditutup pagi tadi.

Beliau yang juga anak jati Rantau nekad untuk mencalonkan dirinya dengan hadir seorang diri di pusat penamaan calon.

“Saya mahu pengikut dan penyokong saya datang dengan rela hati hingga ke hari akhir kempen nanti kerana kepercayaan mereka terhadap manifesto saya,” katanya kepada FMT.

Apabila ditanya apakah antara kandungan manifesto yang disediakannya untuk meraih undi, beliau enggan memberitahu lebih lanjut.

Beliau bagaimanapun berkata, manifesto itu sudah pun disediakannya sebelum PRK Semenyih lagi.

Terdahulu, SPR mengesahkan 4 calon disahkan bertanding untuk kerusi DUN tersebut.

Mereka ialah calon Pakatan Harapan (PH), Dr S Streram, 59; calon Barisan Nasional (BN), Mohamad Hassan, 62, dan seorang lagi calon Bebas Mohd Nor Yassin, 67.

Bercerita lebih lanjut, Malar berkata, beliau tidak mempunyai perancangan kewangan jangka panjang untuk kekal dalam dunia politik, jika berjaya memenangi kerusi tersebut.

“Saya ada sedikit bekalan wang hanya untuk peringkat permulaan ini sahaja.

“Selepas ini, saya berharap penyokong akan memberikan sumbangan setelah menerima manifesto saya,” katanya.

Malar merupakan bekas penyampai radio di sebuah stesen radio di Toronto, Kanada. Beliau menetap di negara itu hampir 23 tahun sejak tahun 1992 dan pulang ke tanah air pada 2016.

“Saya pulang ke Rantau untuk menjaga ibu saya. Beliau sudah meninggal dunia pada tahun 2017.

“Kini, saya duduk di rumah menjaga anjing dan membelek-belek laporan berita utama berkenaan negara,” jelasnya.

Sementara itu, calon Bebas kedua, Mohd Nor berkata, beliau ingin merebut peluang demokrasi yang wujud di negara ini.

“Sudah ada ruang, kita raih,” kata anak kelahiran Gemenchih itu kepada pemberita selepas majlis pengumuman calon pagi tadi.

Katanya, beliau tidak mempunyai masalah dengan mana-mana ahli politik selagi agenda Islam diutamakan.

“Semua parti saya sokong. Kita nak bawa pembangunan berasaskan Islam,” katanya.

Mohd Nor ialah bekas pensyarah.

Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula hari ini dan hari mengundi awal dijadualkan pada 9 April depan.

Terdapat 29,926 pengundi berdaftar di DUN Rantau, dengan 55% daripadanya pengundi Melayu, India 26% dan Cina 19%.

PRK Rantau merupakan pilihan raya kecil ke-7 diadakan selepas pilihan raya umum 9 Mei tahun lalu, iaitu PRK DUN Sungai Kandis, Seri Setia, Balakong dan Semenyih, kesemuanya di Selangor dan PRK kerusi Parlimen Port Dickson (Negeri Sembilan) dan Cameron Highlands (Pahang).