Tanya industri kenapa gaji siswazah menurun, kata Maszlee

Maszlee Malik berkata persoalan gaji siswazah menurun seharusnya ditanyakan kepada pemain industri.

KUALA LUMPUR: Menteri Pendidikan, Maszlee Malik berkata persoalan mengenai gaji permulaan siswazah yang menurun seharusnya ditanyakan kepada pemain industri bukannya Kementerian Pendidikan.

Katanya, Kementerian Pendidikan hanya bertanggungjawab melahirkan mahasiswa berkemahiran tinggi dan kompetitif tetapi tidak berkuasa menentukan gaji mereka.

“Itu kena tanya industri kerana kami di Kementerian Pendidikan tidak menjaga gaji tapi apa yang kami boleh lakukan adalah menyediakan mahasiswa yang berkemahiran tinggi, berilmu, terlatih dan kompetitif untuk pasaran kerja tempatan dan antarabangsa.

“Sebab itu, kena tanya industri sebab mereka yang sediakan peluang pekerjaan. Nanti kita akan ceritakan apabila telah sampai waktunya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2019 petang tadi.

Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia (BNM) 2018 mendedahkan gaji permulaan bagi kebanyakan siswazah baru di negara ini menurun sejak 2010 selepas mengambil kira faktor inflasi.

Siswazah yang berkelulusan diploma mendapat gaji pokok sebanyak RM1,376 pada 2018 berbanding RM1,458 pada 2010.

Sementara itu, gaji pokok pemegang ijazah sarjana muda adalah RM1,983 pada 2018 berbanding RM1,993 pada 2010, manakala pemegang ijazah sarjana memperoleh gaji pokok RM2,707 berbanding RM2,923 pada 2010.

Namun jumlah tenaga kerja siswazah negara meningkat daripada 23.5% pada 2010 kepada 28.3% pada 2017.

Ini termasuk antara 2010 hingga 2017, bilangan pemegang diploma dan ijazah dalam tenaga kerja secara purata meningkat sebanyak 173,457 orang setahun.

Maszlee dalam kenyataannya semalam berkata beliau mengambil maklum perkara tersebut dan akan bekerjasama dengan pelbagai pihak bagi menangani perkara itu.

“Kementerian mengambil serius tentang isu kebolehpasaran graduan,” katanya.