Zahid hadir tunai janji bantu menangkan Mohamad Hasan di Rantau

Ahmad Zahid berkata, beliau menyerahkan kepada pengundi untuk membuat penilaian jika kehadirannya di Rantau dapat membantu memenangkan Mohamad. (Gambar Facebook)

SEREMBAN: Bekas timbalan perdana menteri, Ahmad Zahid Hamidi berkata, kemunculan beliau pada hari penamaan calon pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau hari ini adalah untuk menunaikan janji membantu menenangkan calon Barisan Nasional (BN) Mohamad Hassan.

“Tok Mat adalah penyandang dan perintah mengosongkan kerusi bukan disebabkan oleh beliau, tetapi oleh keputusan mahkamah.

“Biarpun Tok Mat pembangkang, tetapi yang penting beliau banyak memberi sumbangan dalam bentuk pembangunan di Rantau,” katanya ketika ditemui media di pusat penamaan calon di SJK (C) Bandar Sri Sendayan di sini, hari ini.

Zahid berkata, beliau menyerahkan kepada pengundi untuk membuat penilaian jika kehadirannya di Rantau dapat membantu memenangkan Mohamad.

“Ia bergantung, kalau kehadiran saya boleh membantu kemenangan, saya akan terus berada di tempat yang memerlukan sumbangan saya,” katanya.

Zahid hadir buat pertama kali ke pusat penamaan calon PRK selepas mengumumkan bercuti pada 18 Disember lalu. Beliau turut membuat kemunculan pertama pada PRK Semenyih untuk berkempen membantu calon BN sebelum ini.

Ditanya adakah ini bermakna beliau kini kembali bertugas sebagai presiden Umno, Zahid berkata, beliau tidak mempunyai perancangan sedemikian ketika ini.

“Kembali ke jawatan (presiden Umno)? Itu terserah kepada Allah. Setakat ini tiada dalam perancangan, biar masa menentukan,” katanya.

Terdahulu Zahid mengiringi Mohamad ke pusat penamaan calon bersama-sama pemimpin BN dan PAS, termasuk Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob; Presiden MCA, Wee Ka Siong; Naib Presiden PAS, Idris Ahmad, Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan serta lebih 1,000 penyokong.

Mohamad bakal berdepan saingan daripada calon Pakatan Harapan (PH), Dr S Streram, 59; dan 2 calon Bebas iaitu, Malar Rajaram, 51, dan Mohd Nor Yassin, 67, dalam PRK yang dijadualkan pada 13 April depan itu.

PRK Rantau merupakan pilihan raya kecil ke-7 diadakan selepas pilihan raya umum 9 Mei tahun lalu, iaitu PRK DUN Sungai Kandis, Seri Setia, Balakong dan Semenyih, kesemuanya di Selangor dan PRK kerusi Parlimen Port Dickson (Negeri Sembilan) dan Cameron Highlands (Pahang).

Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula hari ini dan hari mengundi awal dijadualkan pada 9 April depan.

Terdapat 29,926 pengundi berdaftar di DUN Rantau, dengan 55% daripadanya pengundi Melayu, India 26% dan Cina 19%.