Cegah makanan ringan… Obesiti dalam kalangan kanak-kanak membimbangkan

Makanan ringan sememangnya lazat dinikmati kerana kaya dengan pelbagai perisa yang menyelerakan.

Namun, tidak semua yang lazat itu sihat untuk dimakan dan ada kalanya ia boleh membawa mudarat jika diambil secara berlebihan.

Golongan kanak-kanak terutamanya pelajar sekolah adalah antara kelompok sasaran paling mudah terpengaruh dengan pengambilan makanan ringan.

Pakar pemakanan dan kecergasan, Kevin Zahri memandang serius tentang pengaruh makanan ringan yang menular di sekolah-sekolah dan seterusnya memperngaruhi pelajar untuk mencuba hidangan tidak berkhasiat itu.

“Antara kempen yang kami jalankan adalah mencegah syarikat makanan ringan dalam mempergunakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) sebagai pintu untuk bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM),” katanya memetik laporan media.

Tambah bapa kepada dua cahaya mata itu, walaupun kempen kesedaran tentang kesan buruk pengambilan makanan segera sudah diterapkan di sekolah, namun ia menjadi sia-sia sekiranya institusi tersebut masih dijadikan medan untuk tujuan penjenamaan produk.

Kevin Zahri.

“Memang sudah dilarang makanan segera daripada dijual di sekolah-sekolah, tapi sebab sekolah adalah a place of trust (tempat yang dipercayai), secara tidak langsung budak-budak akan percaya (kepada jenama tersebut),” ujarnya.

Sehubungan itu, Kevin tampil memperkenal kempen Cabaran Jom Kurus Sekolah bagi menangani masalah obesiti dalam kalangan komuniti sekolah.

Kata beliau, program tersebut sebelum ini banyak menumpukan kepada golongan dewasa dan kini sudah tiba masanya untuk memberikan perhatian kepada golongan kanak-kanak yang sedang membesar.

“Perkara pertama, ia bukanlah untuk menguruskan pelajar yang sedang membesar tapi nak fokus kepada sekolah itu sendiri.

“Maksudnya, program ini ingin memberikan pendidikan kepada guru, kesedaran kepada komuniti sekolah dan menggunakan tapak sekolah sebagai hab serta pada masa sama kita akan membina modul pembelajaran bersama KPM dan Kementerian Kesihatan (KKM),” jelasnya.

Tambah Kevin, kempen itu juga diwujudkan bagi membina pendidikan kesihatan kreatif dalam menerapkan ilmu kesihatan kepada pelajar, ibu bapa dan komuniti untuk tempoh yang berpanjangan.

Program itu juga diharap dapat membimbing kanak-kanak sejak di peringkat sekolah untuk mengawal berat badan dengan sendiri tanpa bergantung kepada orang lain.

Kempen tersebut dilaksanakan secara percuma dan pendaftaran kepada sekolah serta orang ramai untuk menyumbang tenaga sebagai sukarelawan juga sudah dibuka.

Setakat ini, sudah hampir 600 sekolah dan kira-kira 300 sukarelawan telah berdaftar dengan Cabaran Jom Kurus Sekolah.

Cabaran Jom Kurus Sekolah mensasarkan sebanyak 1,000 sekolah untuk menyertai kempen tersebut menjelang akhir tahun ini, manakala 5,000 sekolah pula bagi tempoh lima tahun dari sekarang.

Bagi mereka yang berminat boleh mendaftar sebagai seorang sukarelawan di www.cabaranjomkurus.com/sekolah.

Antara cabang kesukarelawanan yang ditawarkan adalah pendidik kreatif; pakar nutrisi dan doktor; jurulatih sukan dan kecergasan; pereka grafik; pemaju web; perhubungan media; tajaan; selebriti dan influencer; penulis kandungan dan badan bukan kerajaan (NGO).

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]