Kabinet pertimbang cadangan keluarkan laporan CEP dari OSA, kata TPM

KUALA LUMPUR: Kabinet akan mempertimbangan cadangan mengeluarkan laporan Majlid Penasihat Kerajaan daripada bawah Akta Rahsia Rasmi, kata Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail, susulan gesaan pelbagai pihak yang mahu ia didedahkan untuk dibahas.

Wan Azizah sendiri akan bercakap dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengenai perkara itu.

“Setakat ini ada beberapa perkara tidak dapat didedahkan kerana belum diselesaikan,” katanya kepada pemberita di KL Sentral tengah hari tadi.

Sebelum ini, 50 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggesa kerajaan mendedahkan laporan CEP kepada umum, dengan berkata kerana tindakan meletakkan laporan itu bawah OSA bermaka kerajaan mahu sembunyikan sesuatu.

“Hakikat bahawa seorang timbalan menteri Pakatan Harapan (PH) mewajarkan langkah merahsiakan laporan yang disediakan dengan tujuan membantu proses pembaharuan, membimbangkan masyarakat sivil tentang komitmen kerajaan ini pada pembaharuan,” kata mereka dalam kenyataan.

Semalam, perdana menteri berkata beliau sedar kerajaan dituduh tidak telus tetapi ia belum boleh didedah memandangkan ada beberapa perkara di dalamnya yang masih di peringkat rundingan.

Pengerusi CEP, Daim Zainuddin berkata, beliau mahu laporan itu didedahkan kepada umum bagi membolehkan ia dibahas.

Ahli CEP, Jomo K Sundram turut membantah keputusan kerajaan untuk mengklasifikasikan laporan tersebut bawah OSA.

Bela nasib siswazah

Dalam pada itu, Wan Azizah berkata kerajaan merancang untuk membuat satu polisi bagi membela nasib siswazah selepas kadar gaji permulaan dilaporkan menurun.

“Kita memang ada bincang bagaimana pendapatan mereka ketika ini berbanding pendapatan yang diperoleh mahasiswa beberapa tahun dahulu.

“Kita perlukan kajian secara menyeluruh dengan mengambil kira semua fakta baru bagi membuat satu polisi untuk membela golongan muda sebab isu ini berkait rapat dengan pengangguran. Perkara ini perlu ditangani dan apabila kita boleh menolong secara menyeluruh kita akan lakukan,” katanya.

Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia (BNM) 2018 mendedahkan gaji permulaan bagi kebanyakan siswazah baru di negara ini menurun sejak 2010 selepas mengambil kira faktor inflasi.

Siswazah yang berkelulusan diploma mendapat gaji pokok sebanyak RM1,376 pada 2018 berbanding RM1,458 pada 2010.

Sementara itu, gaji pokok pemegang ijazah sarjana muda adalah RM1,983 pada 2018 berbanding RM1,993 pada 2010, manakala pemegang ijazah sarjana memperoleh gaji pokok RM2,707 berbanding RM2,923 pada 2010.

Menteri Pendidikan, Maszlee Malik semalam berkata persoalan itu harus ditujukan kepada pemain industri selepas mengambil maklum perkara tersebut dan akan bekerjasama dengan pelbagai pihak bagi menangani perkara itu.

“Kementerian mengambil serius tentang isu kebolehpasaran graduan,” katanya.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) Shamsuddin Bardan pula berkata gaji permulaan untuk siswazah baru di sektor swasta meningkat dari 2010 hingga 2018, tidak seperti yang dilaporkan BNM.

Laporan MEF menunjukkan seorang pemegang diploma boleh mendapat pendapatan sebanyak RM1,661 pada 2018 berbanding RM1,458 pada 2010, ijazah sarjana muda RM2,393 (RM1,993) dan ijazah sarjana RM3,267 (RM2,923).

“MEF menyatakan apabila data gaji sebenar menunjukkan gaji pokok permulaan untuk kesemua kategori termasuk pemegang diploma, ijazah sarjana muda dan ijazah sarjana dalam trend meningkat dari 2010 ke 2018, tetapi dinyatakan sebaliknya dalam laporan BNM, ia telah memberikan gambaran buruk kepada majikan.

“Majikan dipersalahkan kerana tidak membayar gaji pokok permulaan yang mencukupi untuk pekerja yang baru diambil bekerja,” katanya.

Kata Shamsuddin, gaji pokok permulaan hanya terpakai semasa tempoh percubaan dan jika pekerja tersebut membuktikan dia merupakan aset kepada organisasi itu, gajinya akan disemak semula kepada yang lebih tinggi bagi memastikan dia kekal dengan majikan.

“MEF berpandangan peningkatan gaji pokok sepatutnya berdasarkan keupayaan syarikat untuk membayar dan prestasi pekerja,” katanya.