Kemenangan Tok Mat di Rantau penting untuk maruah Umno, BN, kata Khairy

Khairy Jamaluddin berucap dalam ceramah sulung sempena kempen menyokong calon BN dalam PRK Rantau malam tadi.

SEREMBAN: Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berkata, Barisan Nasional (BN) perlu memastikan Mohamad Hasan menang dalam pilhan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau bagi menjaga maruah parti itu kerana beliau merupakan pemimpin tertingginya.

Beliau berkata, Pakatan Harapan (PH) akan berusaha sedaya upaya untuk menewaskan Mohamad seperti yang boleh dilihat daripada kehadiran pemimpin utamanya semasa proses penamaan calon PRK tersebut.

“Siapa yang hadir (penamaam calon) daripada PH? Anwar Ibrahim, Wan Azizah, Muhyiddin Yassin, Mujahid Yusof Rawa dan Anthony Loke.

“Semua ada kerana mereka tahu, walaupun PRK, tetapi yang lawan ini adalah ‘taiko’ dari Umno dan BN. Bagi mereka, kalau dapat kalahkan Tok Mat di Rantau, ‘kepala’ sudah dipotong. Sebab itu kita jangan sekali benarkan ‘kepala’ kita dipotong.

“Ini maruah Umno, maruah BN. Kita pastikan kemenangan Tok Mat di Rantau ini. Boleh?” katanya, dalam satu ceramah di Pekan Sagga dekat sini, malam tadi.

Khairy berkata, kemenangan Mohamad bukan sahaja memberi makna kepada penduduk Rantau dan Negeri Sembilan, tetapi juga menjadi penentu hala tuju dalam misi mengembalikan kekuatan Umno dan BN.

“Tok Mat adalah ikon parti keseluruhannya. Beliau pemangku presiden, Bila ‘bos’ kita bertanding, ertinya PRK ini membawa kepentingan nasional. Kita perlu pastikan kemenangan,” katanya.

Khairy mahu PRK Rantau mencatatkan kemenangan hatrik buat Umno dan BN setelah Mohamad mengambil alih kepimpinan parti itu.

“Saya mahu Rantau ini menjadi kemenangan hatrik bagi kita. Jaringan 3 gol oleh seorang pemain dalam satu perlawanan bola sepak. Penjaringnya tak lain tak bukan Tok Mat.

“Beliau ambil alih tugas presiden (Umno) dan menang di Cameron Highlands. Menang Semenyih. Lengkapkan hatrik di Rantau. Boleh?” soalnya disambut sorakan penyokong yang hadir memenuhi kawasan ceramah sulungnya di situ yang turut dihadiri oleh Mohamad dan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Rafiei Mustapha.

“PRK Rantau ini bukan kecil, tapi besar maknanya kerana calon yang bertanding di sini bagi pihak BN ialah pemangku presiden Umno dan juga pengerusi BN,” katanya.

PRK Rantau yang ditetapkan 13 April depan itu menyaksikan pertembungan 4 penjuru antara Mohamad dengan 3 calon lain, iaitu Dr S Streram yang mewakili PH dan 2 calon Bebas, Malar Rajaram dan Mohamad Nor Yassin.