Ketika berkempen untuk Tok Mat, Puteri Umno menyanyi untuk bantu OKU

Fadzilah menyanyi dengan iringan muzik pakcik Nor di pasar malam pekan Rantau.

SEREMBAN: Di sebalik kesibukan jentera Barisan Nasional mendekati pengundi, seorang pemimpin Puteri Umno hari ini memukau penduduk di pasar malam pekan Rantau.

Ketua Penerangan Puteri Umno Kota Belud, Nurul Fadzilah Nordin menawan hati pengunjung apabila dia menyanyi di tengah-tengah kesibukan orang ramai untuk seorang warga emas cacat penglihatan, Mohd Nor yang bergantung harap pada sumbangan orang ramai dengan bermain muzik.

Pengunjung nyata terpegun melihat gadis Sabah itu mendendangkan lagu “Semakin Hari Semakin Sayang” nyanyian Uji Rashid, lalu mendorong hati mereka untuk memberi sumbangan kepada Mohd Nor.

Ketika ditemui FMT, Fadzilah berkata dia ikhlas membantu Mohd Nor apabila ternampak orang tua itu mencari rezeki, dan kebetulan dia boleh menyanyi.

“Selain datang untuk membantu kempen Tok Mat, saya cuba bantu pakcik Nor mencari rezeki dengan menyanyi untuk tarik orang ramai,” katanya.

Fadzilah berkata dia bersama aktivis-aktivis BN Sabah akan berada di Rantau sehingga hari mengundi.

Mohamad, yang juga timbalan Presiden Umno, akan mempertahankan Rantau buat kali ke-4 selepas memenanginya sejak 2004.

PRK Rantau menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Mohamad, S Streram yang mewakili Pakatan Harapan (PH) dan 2 calon bebas, iaitu R Malar dan Mohamad Nor Yassin.