Kumpulan Nama dan Yaashwin berjaya ke pentas akhir Asia’s Got Talent 3

Adakah anda masih ingat 2 peserta dari Malaysia yang berjaya memukaukan juri dalam rancangan realiti Asia’s Got Talent, kumpulan Nama dan seorang lagi Yaashwin Sarawanan.

Ini berita baik dan menggembirakan seluruh rakyat Malaysia apabila kedua-duanya berjaya mara ke peringkat akhir setelah sekali lagi menjadi pilihan juri pada separuh akhir.

Ini membuktikan orang Malaysia sememangnya berbakat!

Sejarah juga tercipta apabila Yaashwin yang juga digelar manusia kalkulator, turut mara ke pentas akhir menerusi sistem pengundian penonton.

Manakala kumpulan Nama yang terdiri daripada empat gadis bersuara lunak, Fazrina Ani, Fazyra Malik, Fara Dolhadi, dan Syamimi Mokhtar mempersembahkan lagu bertajuk Sax nyanyian Fleur East sambil disertai beberapa orang penari latar.

Persembahan bertenaga mereka mendapat perhatian peminat rancangan realiti tv ini dan menambat hati tiga juri tetap yang terdiri daripada produser muzik, David Foster, penyanyi antarabangsa, Anggun, dan artis popular Korea-Amerika, Jay Park.

Bagi Yaashwin pula, sejak pusingan kelayakan lagi dia telah membuatkan juri-juri tercengang dengan kebolehannya mengira tanpa menggunakan kalkulator.

Dilabel sebagai lebih pantas dari kalkulator, Yaashwin berupaya mencongak pengiraan matematik dengan pantas dan mudah.

Semua rakyat Malaysia pastinya mendoakan kejayaa kepada kedua-dua peserta dari Malaysia ini.

Harapan Malaysia untuk bergelar juara Asia’s Got Talent musim ke-3 ini terletak di bahu mereka.

Sebelum ini negara Filipina menjadi juara pertama bagi Asia’s Got Talent diikuti Indonesia bagi musim ke-2.

Pentas akhir Asia’s Got Talent akan berlangsung di Marina Bay Sands, Singapura pada 4 April ini.

Juara akan membawa pulang hadiah wang tunai lumayan berjumlah $100,000 USD (RM408,210).

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]